General

UUM perkukuh jalinan antarabangsa di Majlis Perasmian Program Ayuh Kuliah Malaysia 2025

JAKARTA, 13 Julai 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan telah menghadiri Majlis Perasmian Program Ayuh Kuliah Malaysia 2025 yang berlangsung di Jakarta, semalam.

Program anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) ini merupakan inisiatif strategik bagi mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia kepada pelajar antarabangsa, khususnya di rantau ASEAN.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, yang turut meluangkan masa melawat reruai pameran UUM.

Turut hadir, delegasi UUM terdiri daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Azizuddin Mohd Sani dan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad.

Dalam misi yang sama, UUM turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tiga universiti terkemuka Indonesia sebagai langkah memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan iaitu Universitas Airlangga yang diwakili oleh Naib Rektor bagi Hal Ehwal Akademik, Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Bambang Sektiari Lukiswanto; Universitas Katolik Atma Jaya yang diwakili oleh Naib Rektor bagi Kerjasama, Prof. Dr. Yanti dan Universitas Ciputra diwakili oleh Dekan Fakulti Pelancongan, Prof. Dr. Agoes Tinus Lis Indrianto.

Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak ruang dalam aspek pertukaran pelajar, program mobiliti, penyelidikan bersama serta pembangunan akademik dalam bidang kepakaran masing-masing.

UUM terus komited menjadi peneraju pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa, mendukung aspirasi Malaysia sebagai hab pendidikan serantau. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button