Hubungan Malaysia-Thailand dipereratkan melalui UUM International Summer School Program 3.0
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 29 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan jaringan antarabangsa melalui penganjuran UUM International Summer School Program 3.0 anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Julai lalu.
Program ini melibatkan kerjasama erat Prince of Songkla University (PSU) Kampus Trang dan beberapa buah sekolah menengah dari Trang, Thailand.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen.
Beliau berkata, program ini sebagai manifestasi mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand, khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan pelajar.
“Kerjasama antara UUM dan Prince of Songkla University telah lama terjalin melalui pelbagai inisiatif seperti program mobiliti pelajar, seminar bersama, penyelidikan kolaboratif serta pertukaran budaya dan akademik.
“Program musim panas ini menjadi bukti kejayaan kesinambungan kerjasama itu,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa program ini bukan sahaja menambah baik kemahiran komunikasi dan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, malah memperkasa nilai kepimpinan, semangat kerjasama dan kesedaran global yang sangat diperlukan dalam dunia masa kini.
Sementara itu, Dekan SEFB merangkap menjalankan tugas Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri dalam ucapan aluannya menyambut baik kehadiran 65 orang pelajar termasuk guru dari Thailand ke kampus UUM yang terkenal dengan kehijauan dan keindahan semula jadi.
“Program tiga hari ini memberi peluang unik kepada peserta untuk mempertingkatkan kemahiran bahasa Inggeris melalui sesi interaktif, serta menjalin hubungan rentas budaya bersama rakan sebaya di Malaysia.
“Kami berharap ramai antara anda akan kembali ke UUM satu hari nanti sebagai pelajar sepenuh masa,” katanya penuh harapan.
Pengarah program, Khairul Anuar Adnan turut memainkan peranan penting dalam merancang dan menyelaras keseluruhan perjalanan program ini sehingga berhasil menjayakan International Summer School Program dari edisi yang pertama sehingga edisi yang ketiga.
Seramai 10 pelajar UUM dan 65 pelajar dari Thailand terlibat dengan program ini. Antara pengisian program termasuk kelas interaktif bahasa Inggeris, aktiviti sukan dan riadah, lawatan akademik serta aktiviti pertukaran budaya.
Program ini dijangka akan terus menjadi platform tahunan bagi memupuk hubungan erat antara institusi pendidikan kedua-dua negara, sekali gus membuka peluang lebih luas dalam jaringan antarabangsa UUM pada masa depan. – Nur Izzatul Natasya Raymee Syam (Pelajar Pelatih dari UniMAP)