Menjalin Sinergi UUM–MIGHT
Gambar oleh Prof. Dr Chandrakantan Subramaniam
CYBERJAYA: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, mengetuai delegasi Pusat Kerjasama Universiti–Industri (CUIC) UUM dalam satu kunjungan hormat ke Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), di sini semalam.
Delegasi UUM disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Ts. Rushdi Abdul Rahim. Turut bersama-sama ialah Ts. Dr. Mohd Muzzammil Ismail dan Fera Fizani Ahmad Fizri.
Pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara universiti dan industri, selain meneroka pelbagai peluang kolaborasi yang mampu memberi impak langsung kepada pelajar, komuniti akademik dan ekosistem pendidikan tinggi negara.
UUM turut menawarkan kepakaran dalam bidang ekonomi dan hubungan antarabangsa sebagai sokongan kepada usaha MIGHT dalam mempercepatkan proses pemindahan teknologi antara negara. Melalui sinergi ini, kedua-dua pihak dapat memainkan peranan penting dalam memperkasakan agenda pembangunan negara berasaskan teknologi dan inovasi.
Selain itu, UUM turut menyatakan minat untuk terlibat dalam inisiatif aplikasi Smart City menerusi syarikat terbitan universiti (UUM spin-off), sejajar dengan hasrat untuk menterjemah hasil penyelidikan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat. – Prof. Dr Chandrakantan Subramaniam