Alumni UUM dan badan korporat taja Bankuet Diraja Alumni UUM 2025
Gambar Hairul Nizam Zahari dan Mohd Fuad Hamid
PETALING JAYA, 13 Ogos 2025: Bankuet Diraja Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) 2025 menyaksikan alumni UUM yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Dato’ Mustaffa Kamal Dato’ Shamsudin mencatatkan penajaan tertinggi sebanyak RM75,000 meliputi dua meja Platinum, satu meja Perak, serta persembahan istimewa Dato’ Jamal Abdillah.
Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah merangkap Canselor UUM, berkenan menyampaikan kad plak dan sijil penghargaan kepada penaja kategori Platinum dan Emas sebagai tanda penghargaan universiti atas sumbangan yang diberikan.
Penganjuran majlis Bankuet Diraja Alumni UUM 2025 yang diadakan di Hotel One World pada Sabtu lalu berdasarkan pembelian meja yang sebahagian besar bertujuan pembangunan dan penyelenggaraan rumah alumni yang dikenali sebagai Alumni Learning and Training Centre atau ALTRAC bernilai RM5 juta.
Antara syarikat korporat yang menaja termasuklah Latimer Corporation Sdn. Bhd. yang diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Denis Chandratheepam Latimer yang juga alumni Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian (1988) menaja RM20,000 di mana RM16,000 daripadanya disalurkan ke Tabung ALTRAC.
Sumbangan Platinum turut diberikan oleh First Grade Resources Sdn. Bhd. yang diwakili Pengarah Urusannya, Zulkifli Yusop yang juga alumni Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian (1998), serta Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), diwakili Dekannya, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar, alumni Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian (1996).
Bagi kategori Platinum Individu, tokoh alumni diraikan ialah Pengarah Urusan dan Ahli Lembaga KDEB Waste Management Sdn. Bhd., Dato’ Ramli Mohd Tahir, alumni Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (1996); Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Kemampanan, AEON Co (M) Bhd., Dr. Kasuma Satria Mat Jadi, alumni Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (1996) dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Inch Kenneth Kajang Rubber Public Limited Company, Hussain Ahmad Abdul Kader, alumni Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian (1988).
Bagi kategori Emas, ASR Padu Sdn. Bhd., diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ayob Samad, alumni Sarjana Muda Ekonomi dengan Kepujian (1996) telah menyalurkan tajaan bernilai RM15,000, dengan RM11,000 daripadanya disumbangkan terus ke Tabung ALTRAC.
Selain itu, majlis turut menerima penajaan Perak bernilai RM20,000 dan lapan penajaan Gangsa dengan jumlah keseluruhan RM40,000, melambangkan solidariti padu alumni dan rakan strategik UUM terhadap pembangunan universiti.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan merakamkan penghargaan kepada semua penaja atas sokongan dan komitmen yang bukan sahaja menyemarakkan majlis, malah memperkukuhkan usaha ALTRAC dalam memperluas jaringan dan inisiatif alumni universiti.
“Ini adalah bukti kecintaan alumni kepada alma mater mereka. Sokongan ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan dan transformasi UUM pada masa hadapan,” katanya.
Bankuet Diraja Alumni UUM 2025 berlangsung penuh istiadat, menghimpunkan alumni dari pelbagai generasi, tokoh korporat, dan kenamaan dalam suasana keakraban serta semangat kekitaan demi kelestarian universiti.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Pro-Canselor UUM; Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah; Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah merangkap Pro-Canselor UUM serta Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah.
Turut hadir, Pro-Canselor UUM, Tan Sri (Dr.) Tengku Mahaleel Tengku Ariff; Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar; Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sani Megat Ahmad Supian serta barisan pengurusan tertinggi UUM dan dif-dif kehormat yang lain. – Kori Ariff