Webinar ‘Keselamatan Kampus: Lensa Jabatan Keselamatan UUM’ tekan kesedaran dan amalan terbaik
Gambar Dr. Anis Shuhaiza Md Salleh
SINTOK, 13 Ogos 2025: Seramai 120 peserta telah menyertai webinar bertajuk “Keselamatan Kampus: Lensa Jabatan Keselamatan UUM” yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Operasi, Jabatan Keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Inspektor (PB) Ahmad Tariq Zulkifli.
Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Keselamatan, Risiko dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Pusat Pengajian Undang-undang (SoL) sempena sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) UUM.
Dekan Pusat Pengajian Undang-undang merangkap Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, pihaknya sentiasa komited menyokong inisiatif yang meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan staf dan pelajar.
Menurutnya, webinar ini bertujuan mendedahkan warga universiti khususnya staf kepada aspek keselamatan, risiko dan kesihatan di kampus melalui perkongsian ilmu serta demonstrasi amali oleh pakar berkaitan.
“Pendedahan seperti ini bukan sahaja membantu memperkukuh pengetahuan warga kampus tentang aspek keselamatan, malah memupuk rasa tanggungjawab bersama untuk menjaga kesejahteraan komuniti universiti secara menyeluruh,” katanya.
Dalam sesi tersebut, Ahmad Tariq menekankan kepentingan kerjasama komuniti kampus dalam mencegah insiden keselamatan, meningkatkan tahap kesiapsiagaan, serta mematuhi prosedur operasi standard yang telah digariskan.
Menurutnya, keselamatan kampus bukan hanya tanggungjawab pihak Jabatan Keselamatan, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh warga universiti.
Katanya, setiap individu perlu peka, melapor sebarang insiden yang mencurigakan, dan sentiasa mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan.
Program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk mengajukan soalan secara interaktif, membincangkan isu keselamatan semasa, serta mendapatkan panduan praktikal berkaitan pencegahan risiko di tempat kerja.
Penganjuran webinar ini diharap dapat memupuk budaya kerja selamat, meningkatkan kesedaran terhadap risiko keselamatan, dan memperkukuh jaringan kerjasama antara staf dan pihak pengurusan keselamatan universiti. – Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad