General

25 Pegawai Kadet Pertahanan Awam UUM ditauliahkan pangkat Leftenan Muda

Gambar Ihsan UiTM Photo Centre dan Kor Sispa UUM

SHAH ALAM, 18 Ogos 2025: Seramai 25 pegawai kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah ditauliahkan pangkat Leftenan Muda (Lt. M.).

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin binti Abdul Rahman berkenan menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini pada Sabtu lalu.

Dalam majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan Anugerah Pegawai Kadet Sispa Terbaik kepada 24 pegawai mewakili Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing dan satu anugerah khas iaitu Piala Ketua Pesuruhjaya Perdana (Best Among The Best).

Kor Sispa yang diperkenalkan sebagai modul kokurikulum berstruktur sejak 2010 antara lain bertujuan memperkasakan pelajar sepanjang tempoh pengajian dengan ilmu dan latihan dalam bidang pertahanan awam.

Kor Sispa memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan yang berjiwa kesukarelawanan, mempunyai sifat kepimpinan serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana.

Setelah menamatkan semua modul latihan ditetapkan, Pegawai Kadet Sispa yang layak, akan ditauliahkan kepada pangkat Leftenan Muda (PA) bagi pelajar Sarjana Muda, atau Staf Muda (PA) bagi pelajar Diploma.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed dan Timbalan Komandan Kor Sispa, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki.

Seramai 918 orang Pegawai Kadet dari 30 buah Institusi Pendidikan Tinggi dari seluruh Malaysia ditauliahkan di mana 850 Pegawai Kadet ditauliahkan pangkat Leftenan Muda (Lt. M.) dan 68 Pegawai Kadet ditauliahkan pangkat Staf Muda (SM).

Pada sebelah malam, semua pegawai kadet telah diraikan dalam Majlis Makan Malam Rejimental Sempena Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-16 2025.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button