Campus

Akademia merentas dunia: Pelajar INASIS Luar Kampus UUM–RUTS menyemarakkan inovasi digital di Thailand

Gambar Sekretariat Program INASIS Luar Kampus

THAILAND, 19 Ogos 2025: Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS) dengan penuh penghormatan dan sukacita menerima ketibaan rombongan peserta daripada INASIS Luar Kampus, Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi menyertai Digital Innovation Camp 2025 yang berlangsung dari 18 hingga 24 Ogos 2025 di Kampus Saiyai, Nakhon Si Thammarat, Thailand.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi RUTS, Prof. Madya Suthum Chumpromyat, mengalu-alukan kedatangan delegasi UUM ke International Collaboration Camp 2025: Digital Innovation Camp.

Pengetua INASIS Luar Kampus, Mohd Sukri Othman, turut menyatakan harapannya agar kem ini dapat membuka ruang kepada para pelajar untuk membina kemahiran serta menjalin persahabatan antarabangsa yang berkekalan.

Satu perbincangan rasmi turut diadakan antara Dr. Lamun Kayurin (Hal Ehwal Antarabangsa RUTS) dan wakil Pengetua INASIS Luar Kampus, UUM, Cik Laura Lim Sie Yi.

Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada perancangan kerjasama strategik dalam pelaksanaan program-program berkaitan teknologi maklumat, dengan penglibatan aktif kedua-dua institusi selaras dengan usaha memperkukuh hubungan dan pertukaran pengetahuan antara RUTS dan UUM.

Dr. Lamun Kayurin berkata, program itu bukan sahaja menjadi platform pembelajaran dalam bidang inovasi digital, malah turut memperkukuh hubungan strategik antara Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), di samping mempererat kerjasama dua hala antara Thailand dan Malaysia. Beliau menyatakannya ketika menyampaikan ucapan sempena majlis perasmian program berkenaan.

Penyertaan proaktif oleh pelajar INASIS Luar Kampus turut menyerlahkan semangat kepimpinan, kerjasama dan keterbukaan dalam menjalin hubungan antarabangsa, di samping memanfaatkan sepenuhnya peluang pembelajaran sepanjang program ini berlangsung. – Laura Lim Sie Yi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button