UUM perkasa pendidikan luar bandar melalui Program Sekolah Angkat Madani
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SIK, 24 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranannya dalam memartabatkan pendidikan negara menerusi pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila melancarkan Program Sekolah Angkat Madani UUM 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Teloi Tua, di sini, semalam.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengerusi KEDA Resort and Holidays Sdn. Bhd., Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim dan disaksikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, barisan pengurusan kanan universiti, pemimpin komuniti dan warga sekolah.
Sebagai sebahagian daripada komitmen CSR universiti, UUM melalui pusat tanggungjawab termasuk Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Infrastruktur (JPPI), UUMIT, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) dan Pusat Ko-Kurikulum telah menggerakkan sukarelawan masing-masing.
Muhamad Khizri berkata, beliau kagum melihat bagaimana cara UUM menjayakan program ini dari hari pertama hingga hari ini.
“Jutaan terima kasih saya ucapkan atas kejayaan merealisasikan program Sekolah Angkat Madani UUM ini di kawasan Sik,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mohd Foad dalam ucapannya berkata, pemilihan SK Teloi Tua sebagai sekolah angkat merupakan satu penghormatan besar buat UUM untuk menyumbang secara langsung dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan negara.
Menurutnya, pelaksanaan program akan melibatkan beberapa fokus utama, antaranya peningkatan infrastruktur sekolah, pembangunan digital menerusi penubuhan Digital Classroom, sumbangan komputer meja, dan peningkatan capaian internet bagi menyokong pembelajaran digital.
“Bantuan kewangan turut disalurkan kepada pelajar daripada keluarga B40, di samping pelaksanaan program motivasi, pengukuhan jati diri, dan kepimpinan pelajar,” katanya.
Program Sekolah Angkat Madani yang diperkenalkan kerajaan melibatkan sebanyak 200 sekolah di seluruh negara dengan jumlah peruntukan RM20 juta bagi tahun 2025.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar, memperkukuh potensi kepimpinan, serta merapatkan hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti setempat.
Sebanyak RM100,000 diperuntukkan oleh kerajaan untuk setiap program sekolah angkat Madani.
Antara sumbangan yang diberikan ialah kerja-kerja pendawaian elektrik, pemasangan pendingin hawa, penyediaan komputer, mengecat bangunan serta aktiviti gotong-royong oleh sukarelawan pelajar universiti.
Menurutnya, pelaksanaan program ini diyakini akan memberi impak menyeluruh bukan sahaja kepada murid-murid, tetapi turut melibatkan guru-guru, ibu bapa serta komuniti setempat.
Katanya, program Sekolah Angkat Madani ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan holistik yang sejajar dengan aspirasi melahirkan generasi Madani yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan nilai murni.
“Harapan saya agar murid-murid SK Teloi Tua lebih bersemangat untuk menuntut ilmu, mempunyai cita-cita yang tinggi dan seterusnya menjadi insan berguna yang dapat membanggakan keluarga, sekolah, negeri Kedah serta Malaysia,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad; Guru Besar SK Teloi Tua, Mohamad Redzuan Abdul Manas; dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain. – Nur Izzatul Natasya Raymee Syam (Pelajar Pelatih dari UniMAP)