STF IBS UUM dan KWSP anjur Hari Celik Kewangan libatkan 4,000 pelajar
Berita dan gambar Mohd Saharudin Shakrani
SINTOK, 13 Mei 2026: Dana Sosial Takaful (STF) Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuhkan agenda pemerkasaan literasi kewangan menerusi kerjasama strategik bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kerjasama ini meliputi penganjuran program Hari Celik Kewangan (HACK) untuk pelajar di beberapa IPT di Kedah dan Perlis yang melibatkan aktiviti ceramah kewangan dan perancangan persaraan, pameran, permainan interaktif serta pendaftaran takaful dan akaun i-Saraan KWSP.

Sehubungan itu beberapa siri lawatan dan pertemuan bersama pengurusan IPT berkaitan telah diadakan baru-baru ini oleh delegasi STF IBS UUM yang diketuai oleh Pensyarah IBS UUM, Saharudin Shakrani serta diiringi beberapa pensyarah UUM.
Antara IPT yang dilawati adalah UiTM Merbok, UiTM Perlis, UniMAP, Kolej Matrikulasi Kedah, Kolej Matrikulasi Perlis, Institusi Pendidikan Guru Jitra, Institut Pendidikan Guru Perlis serta Politeknik Tuanku Syed Sirajudin Arau.
Saharudin berkata, penganjuran HACK bakal disertai lebih 4,000 pelajar di lapan IPT terpilih dan ini membuktikan peranan berterusan STF IBS UUM dalam memperluas jaringan strategik bersama institusi kewangan seperti KWSP demi kesejahteraan sosial dan kewangan masyarakat.
“Setiap IPT juga menunjukkan komitmen tinggi dalam penganjuran HACK dan program ini berpotensi menjadi model kerjasama terbaik universiti-agensi dalam memperkasa literasi kewangan di Malaysia,” katanya.



