Education

Bangga! Pelajar dan Alumni SOL bersinar di Jabatan Peguam Negara

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim

PUTRAJAYA, 24 Ogos 2025: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, bersama Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab dan tiga Timbalan Dekan pengurusan SOL, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di Jabatan Peguam Negara (AGC), di sini, baru-baru ini.

Pertemuan ini menjadi platform untuk memperkukuhkan kerjasama strategik antara UUM dan AGC, khususnya dalam bidang pendidikan undang-undang, latihan industri serta penyelidikan bersama.

Seramai 113 pelajar menjalani Praktikum I di Mahkamah di seluruh Malaysia, manakala 116 pelajar bagi Praktikum II ditempatkan di firma guaman serta agensi-agensi kerajaan. Seramai 13 pelajar ditempatkan di pelbagai pejabat AGC di seluruh negara, termasuk enam orang di Putrajaya.

Kunjungan tersebut turut diserikan dengan pertemuan santai antara Naib Canselor dan enam pelajar UUM yang sedang menjalani praktikum di AGC, selain bertemu dengan dua alumni SOL yang kini berkhidmat di jabatan berprestij itu.

Dalam sesi santai bersama VC, pelajar berkongsi pengalaman berharga mereka sepanjang praktikum di sini. Mereka didedahkan selok-belok penyediaan dokumen undang-undang, memahami prosedur perundangan negara, hinggalah menyaksikan secara dekat proses membuat keputusan di peringkat tertinggi perundangan. Pengalaman ini disifatkan mereka sebagai pendedahan yang amat bermakna dan menambah keyakinan untuk melangkah ke dunia profesional.

Pelajar turut menyatakan penghargaan kepada UUM dan SOL kerana membuka ruang praktikum di AGC, yang menurut mereka memberi peluang untuk melihat bagaimana ilmu perundangan yang dipelajari di kampus diaplikasikan dalam dunia sebenar. Mereka juga berasa bangga kerana dapat menyumbang bakti, walaupun dalam skala kecil, di institusi undang-undang tertinggi negara.

Dr. Mohd Foad pula menzahirkan rasa bangga melihat kejayaan pelajar dan alumni SOL di AGC, sambil menegaskan bahawa UUM akan terus komited menyediakan platform terbaik untuk membentuk graduan undang-undang yang berkualiti, diyakini dan mampu bersaing di peringkat nasional.

“Ini bukti bahawa graduan kita diyakini dan mampu bersaing dalam dunia profesional. UUM akan terus komited menyediakan platform terbaik untuk pelajar serta memperkukuh hubungan dengan institusi utama negara,” katanya.

Tan Sri Mohd Dusuki pula menyambut baik usaha kerjasama tersebut dan berharap lebih banyak inisiatif dapat dijalinkan antara UUM dan AGC pada masa hadapan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button