Dapur Siswa Madani UUM agih 1,500 ResQ pek bantu mahasiswa rentan hadapi peperiksaan akhir
Berita dan gambar oleh: Biro Media dan Publisiti Majlis Pengetua
SINTOK, 16 Julai 2026: Keprihatinan Universiti Utara Malaysia (UUM) terhadap kebajikan mahasiswa terus diperkasakan menerusi inisiatif Dapur Siswa Madani @ UUM apabila sebanyak 1,500 ResQ Pek berisi menu Ayam Masak Merah diagihkan kepada 500 mahasiswa yang dikenal pasti sebagai golongan rentan sempena peperiksaan akhir semester.
Program kebajikan yang dilaksanakan melalui Dapur Siswa Madani itu memberi tumpuan kepada pelajar yang telah mengemukakan permohonan dan melalui proses penilaian bagi mengenal pasti tahap keperluan masing-masing. Setiap mahasiswa menerima tiga ResQ Pek sebagai bekalan makanan kecemasan yang boleh disimpan dan dipanaskan pada bila-bila masa apabila diperlukan.

Inisiatif tersebut bertujuan memastikan mahasiswa yang berhadapan kekangan kewangan, kelewatan menerima bantuan atau kehabisan wang saku tidak terputus bekalan makanan sepanjang tempoh peperiksaan, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada ulang kaji dan menjawab peperiksaan tanpa dibelenggu kebimbangan terhadap keperluan asas.
Penyediaan menu Ayam Masak Merah dilaksanakan secara bergotong-royong hasil kerjasama Komuniti Bukit Tangga, Majlis Pengetua Inapan Siswa, Majlis Felo serta sukarelawan mahasiswa yang berganding bahu menyediakan, membungkus dan mengendalikan proses pengagihan makanan.
Keseluruhan proses penyediaan masakan dan pemprosesan menggunakan teknologi retort dilaksanakan di Dapur Siswa Madani, yang beroperasi di INASIS Proton sebagai dapur utama universiti. Penggunaan teknologi tersebut membolehkan makanan diproses mengikut piawaian keselamatan makanan, mempunyai tempoh penyimpanan yang lebih panjang dan boleh digunakan sebagai bekalan kecemasan tanpa menjejaskan kualiti serta nilai pemakanannya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, berkata Dapur Siswa Madani diwujudkan sebagai satu ekosistem kebajikan yang memberi fokus kepada aspek keterjaminan makanan mahasiswa secara lebih sistematik, mampan dan bersasar.
“Dapur Siswa Madani bukan sekadar tempat menyediakan makanan, sebaliknya menjadi pusat pengurusan keterjaminan makanan mahasiswa. Setiap bantuan yang disalurkan bermula dengan proses saringan bagi memastikan ia benar-benar sampai kepada pelajar yang memerlukan.”
Beliau berkata, setiap permohonan ResQ Pek dinilai berdasarkan beberapa kriteria termasuk tahap kesukaran kewangan dan situasi semasa pelajar bagi memastikan bantuan diagihkan secara telus serta memberi impak maksimum kepada penerima.

“ResQ Pek diwujudkan sebagai penyelamat kepada mahasiswa sekiranya mereka terputus bekalan makanan akibat kehabisan wang saku atau berhadapan situasi kecemasan. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai bekalan makanan yang boleh digunakan pada bila-bila masa tanpa perlu risau tentang keperluan asas ketika musim peperiksaan.”
Menurut beliau, sehingga hari ini Dapur Siswa Madani @ UUM telah berjaya menghasilkan sebanyak 4,500 ResQ Pek untuk diagihkan kepada mahasiswa yang memerlukan, selain menyediakan lebih 5,000 pek makanan menerusi Program Kenduri Siswa yang menghimpunkan warga kampus dalam semangat kebersamaan dan kebajikan.
Katanya, pencapaian tersebut membuktikan bahawa Dapur Siswa Madani bukan lagi sekadar sebuah dapur penyediaan makanan, malah berkembang sebagai sebuah platform strategik universiti dalam memperkukuh jaringan keselamatan makanan mahasiswa melalui pendekatan yang bersepadu melibatkan pengurusan universiti, komuniti setempat dan warga kampus.

“Kita mahu memastikan tiada seorang pun mahasiswa UUM berhadapan peperiksaan dalam keadaan lapar. Kebajikan mahasiswa merupakan tanggungjawab bersama dan Dapur Siswa Madani menjadi bukti bahawa universiti sentiasa komited menyediakan sistem sokongan yang mampan bagi membantu mereka meneruskan pengajian dengan lebih tenang.”
Kejayaan pelaksanaan program ini turut memperlihatkan kekuatan sinergi antara universiti dan komuniti apabila Komuniti Bukit Tangga, Majlis Pengetua Inapan Siswa, Majlis Felo serta sukarelawan mahasiswa bersama-sama menyumbangkan tenaga dan kepakaran bagi memastikan setiap proses penyediaan, pemprosesan dan pengagihan ResQ Pek berjalan lancar.
Melalui pendekatan berimpak tinggi ini, Dapur Siswa Madani @ UUM terus memperkukuh peranannya sebagai model keterjaminan makanan mahasiswa yang bukan sahaja memenuhi keperluan segera pelajar rentan, malah menjadi manifestasi komitmen Universiti Utara Malaysia dalam membina kampus yang inklusif, prihatin dan mengutamakan kesejahteraan mahasiswa selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.



