Campus

Malam munajat INASIS TM: Bacaan yasin dan solat hajat sesi A252

Berita dan gambar oleh: Muhammad Amsyar Rozidi
SINTOK, 22 Jun 2026: Biro Kerohanian dan Sahsiah sesi 2025/2026 INASIS TM, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Malam Munajat INASIS TM: Bacaan Yasin dan Solat Hajat Sesi A252 bertempat di Dewan INASIS TM.
Program kerohanian ini bertujuan khusus untuk memohon kemudahan, ketenangan jiwa, serta kejayaan buat para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan akhir sesi A252, di samping mengeratkan hubungan ukhuwah sesama penghuni kolej kediaman tersebut.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan khas termasuk Penyelaras Kerohanian INASIS TM, Ustaz Syahril Fazli dari Pusat Islam UUM, wakil Pengetua INASIS Sime Darby, Encik Abdul Rohim, serta wakil felo INASIS TM, Puan Nurfarahiyah.
Suasana dewan mula dipenuhi para jemaah seawal waktu Maghrib untuk menunaikan solat fardhu berjemaah.
Atur cara program diteruskan dengan alunan bacaan surah Yasin yang dipimpin oleh ahli jawatankuasa pelaksana, disusuli dengan tahlil ringkas serta perkongsian hadis oleh imam sebelum masuknya waktu Isyak.
Sejurus selesai solat Isyak, para jemaah bersama-sama mendirikan solat hajat secara berjemaah bagi memohon keberkatan, kesihatan yang baik, serta kelancaran dalam menghadapi urusan peperiksaan mendatang.
Pihak penganjur berharap agar program yang berlangsung dengan penuh khusyuk dan harmoni ini dapat diteruskan sebagai aktiviti berkala demi memperkukuh sahsiah dan nilai kerohanian dalam kalangan warga kampus.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button