Campus

SOE UUM terus perkasa profesionalisme guru Pendidikan Islam Perlis melalui siri kedua taklimat Program Sarjana Pendidikan

Gambar oleh: Nazmin Abdullah & Zurina Hamid

KANGAR, 15 Julai 2026 – Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan komitmennya dalam memperluaskan akses pendidikan pascasiswazah kepada warga pendidik menerusi penganjuran Taklimat Program Sarjana Pendidikan (Pendidikan Islam) Siri 2 khusus kepada Guru Pendidikan Islam Negeri Perlis.

Program ini telah berlangsung pada hari Rabu, 15 Julai 2026, bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang di Bilik Seminar, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Jalan Padang Behor, Guar Syed Alwi, Kangar.

Program ini merupakan kesinambungan kepada siri promosi yang telah diadakan sebelum ini hasil kerjasama strategik antara SOE UUM dan Sektor Pendidikan Islam, JPN Perlis dalam usaha memperkasa profesionalisme Guru Pendidikan Islam melalui peluang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana secara separuh masa.

Delegasi SOE UUM diketuai oleh Dr. Nazmin Abdullah dan Dr. Zurina Hamid, Pengerusi Program Sarjana Pendidikan, serta Dr. Muhd Zulhilmi Haron, Pengerusi Program Pascasiswazah Luar Kampus/Pesisir. Ketiga-tiga wakil SOE telah berkongsi maklumat berkaitan struktur program, syarat kemasukan, mod pengajian yang fleksibel serta kelebihan mengikuti pengajian pascasiswazah di Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia.

Sepanjang sesi taklimat, para peserta turut diberikan penerangan mengenai laluan pengajian, struktur kursus, tempoh pengajian serta peluang pembangunan kerjaya yang boleh dimanfaatkan oleh guru-guru selepas menamatkan pengajian.

Sesi soal jawab yang berlangsung secara interaktif turut memberi ruang kepada peserta mendapatkan penjelasan berhubung proses permohonan, pembiayaan pengajian dan pelaksanaan kelas secara luar kampus.

Program kali ini telah disertai oleh 22 orang Guru Pendidikan Islam, melibatkan 18 peserta hadir secara bersemuka manakala 4 orang peserta mengikuti sesi secara dalam talian (online).

Penyertaan yang memberangsangkan ini mencerminkan minat berterusan dalam kalangan guru untuk meningkatkan kelayakan akademik dan kompetensi profesional sejajar dengan keperluan pendidikan semasa.

SOE UUM berharap program seumpama ini dapat terus memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta membuka lebih banyak peluang kepada guru-guru untuk meningkatkan kompetensi profesional melalui pendidikan pascasiswazah.

Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Universiti Utara Malaysia untuk melahirkan pendidik yang berilmu, kompeten dan berdaya saing dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21.  -Muhd Zulhilmi Haron

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button