Campus

INASIS Luar Kampus semai nilai murni di Thung Song dan Nakhon Si Thammarat

Berita dan gambar oleh Muhammad Izzat Iskandar Bin Baharudin

THUNG SONG, THAILAND, 21 Ogos 2025: Pelajar INASIS Luar Kampus memperkukuh aspirasi sebagai institusi bertaraf dunia dengan melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Wat Chai Chumpon Municipal School, Thailand.

Program ini melibatkan seramai 28 murid sekolah rendah berumur 10 hingga 12 tahun yang diberi peluang menyertai pelbagai aktiviti santai tetapi bermakna.

Antara aktiviti interaktif yang dianjurkan termasuk Ajarn Say Game, iaitu permainan berbentuk arahan dan tindak balas yang menguji tumpuan sekali gus meningkatkan keyakinan murid. Selain itu, murid-murid turut menyertai Musical Bottle serta aktiviti Colour Corner yang memberi ruang kepada mereka mengekspresikan kreativiti melalui seni mewarna, di samping mempelajari nilai kerjasama dan semangat berpasukan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mengukir senyuman di wajah murid, malah memberi pengalaman pembelajaran yang riang dan bermakna.

Pelajar-pelajar UUM juga berpeluang menyertai latihan kebakaran (fire drill) di sekolah tersebut, satu pengalaman bermakna yang memperkukuh kesedaran keselamatan serta kerjasama antarabangsa. Pengalaman ini bukan sahaja membuka mata tentang kepentingan keselamatan, malah mengeratkan hubungan pelajar dengan komuniti setempat. Latihan kebakaran ini menjadi simbol kolaborasi rentas budaya dalam mendidik tentang keselamatan dan tindakan kecemasan.

Langkah ini menzahirkan keprihatinan universiti terhadap kelestarian sosial dan pendidikan, seiring aspirasi UUM untuk berperanan aktif dalam pembangunan masyarakat.

Pihak sekolah turut menzahirkan penghargaan kepada UUM atas usaha murni ini yang bukan sahaja menyantuni murid-murid, malah mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara Malaysia dan Thailand sekali gus menjadikan program CSR ini lebih bermakna.

Selain itu, rombongan turut berpeluang mengadakan lawatan ke The Central Islamic Council of Nakhon Si Thammarat dalam usaha memperkukuh hubungan komuniti merentas sempadan. Program ini memfokuskan kepada pengukuhan peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, dengan penglibatan aktif ahli kariah setempat.

Sumbangan berupa keperluan asas turut disampaikan sebagai tanda solidariti dan sokongan berterusan kepada masyarakat tempatan. Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar masjid juga dilaksanakan, mencerminkan nilai kebersamaan dan tanggungjawab sosial yang tinggi.

Program CSR ini bukan sahaja membuka ruang untuk pertukaran pandangan dan budaya, tetapi turut memperkukuh ukhuwah antara Malaysia dan Thailand melalui pendekatan berteraskan agama dan sosial.

Melalui inisiatif sebegini, UUM menegaskan komitmennya sebagai universiti berjiwa masyarakat dengan membina jaringan antarabangsa bukan sekadar menerusi pendidikan, tetapi juga melalui pemerkasaan sosial, kebudayaan dan keagamaan. – Muhammad Izzat Iskandar Bin Baharudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button