Pelajar INASIS Luar Kampus kuasai seni pitching dan advokasi Bahasa Inggeris dalam bengkel intensif di RMUTSV, Saiyai
Gambar oleh INASIS Kampus Luar
SAIYAI, 22 Ogos 2025: Rajamangala University of Technology Srivijaya (RMUTSV), Kampus Saiyai telah menganjurkan Innovation Pitching Workshop yang melibatkan pelajar dari pelbagai institusi, termasuk pelajar INASIS Luar Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM).
Penglibatan ini membuka peluang besar kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, advokasi dalam Bahasa Inggeris serta keyakinan diri dalam membentangkan idea inovatif di peringkat serantau.
Bengkel ini memberi penekanan kepada elemen penting dalam sesi pitching seperti pengenalan masalah, cadangan penyelesaian, potensi pasaran, model perniagaan serta keperluan pelaburan. Teknik penyampaian seperti penggunaan storytelling, penyediaan visual menarik dan kemahiran komunikasi berkesan turut diberi fokus.
Semua aktiviti dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris, sekali gus memberi ruang kepada pelajar INASIS Luar Kampus untuk mempraktikkan dan memperkukuh kecekapan mereka dalam konteks profesional.
Peluang membentang dalam sesi simulasi pitching dan menerima maklum balas daripada panel penilai telah memberikan pelajar pengalaman langsung untuk meningkatkan keterampilan berkomunikasi serta mempersembahkan idea secara tersusun.
Panel penilai terdiri daripada tiga pensyarah berpengalaman dari Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS) yang memberikan panduan, cadangan penambahbaikan serta galakan berasaskan standard industri sebenar.
Penglibatan ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar, malah menggalakkan pertukaran budaya dan kerjasama antara institusi. Program ini jelas memberi nilai tambah kepada pelajar UUM dalam membina keyakinan, daya saing dan kemahiran advokasi yang relevan untuk dunia kerjaya masa hadapan. – Laura Lim Sie Yi