UUM dan PLAS perkukuh literasi kewangan Penjawat Awam Selangor
Gambar oleh: Sekretariat PLAS
MORIB, SELANGOR, 25 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah dijemput oleh Pusat Latihan Awam Selangor (PLAS), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk menjayakan Program Memperkasa Literasi Kewangan Kakitangan Awam Negeri Selangor yang berlangsung di PLAS Morib, Selangor.
Program sehari ini dikendalikan oleh barisan pensyarah UUM iaitu Dr. Mohd Fodli bin Hamzah, Prof. Madya Dr. Logasvathi a/p Murugiah, dan Prof. Madya Dr. Hasniza bt. Mohd Taib yang berpengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan dan literasi ekonomi. Peserta bengkel memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap program yang dijalankan.
Ramai peserta mengakui kursus ini memberi pendedahan baharu yang praktikal, mudah difahami serta relevan dengan cabaran semasa seperti peningkatan kos sara hidup dan kewujudan kemudahan kewangan digital termasuk Buy Now Pay Later (BNPL). Mereka turut mencadangkan agar tempoh bengkel dipanjangkan supaya lebih banyak latihan amali dapat dilaksanakan.
Melalui program ini, UUM berharap kakitangan awam Selangor dapat meningkatkan kesedaran serta keupayaan mengurus kewangan secara berhemah, sekali gus menjadi teladan kepada masyarakat umum. Fokus utama adalah memastikan setiap penjawat awam berdaya tahan menghadapi cabaran ekonomi dan mampu membuat keputusan kewangan yang bijak.
UUM juga bercadang untuk meneruskan serta memperluaskan penganjuran program ini dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta, seiring dengan visinya untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera, berpengetahuan dan berdaya saing. – Mohd Fodli Hamzah