STHEM semarakkan Karnival Bakti Madani UUM @ Kg. Ulu Chepor dengan demonstrasi masakan tradisi
Gambar STHEM
IPOH, 27 Ogos 2025: Karnival Bakti MADANI UUM @ Kg. Ulu Chepor 2025 telah berjaya menyatukan warga universiti bersama komuniti setempat dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat kebersamaan.
Program anjuran Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) ini menampilkan pelbagai pengisian berbentuk khidmat masyarakat, pendidikan serta pembangunan komuniti.
Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) turut memainkan peranan penting dengan menganjurkan sesi demonstrasi masakan khas untuk penduduk Kg. Ulu Chepor yang dikendalikan oleh tiga pensyarah STHEM, iaitu Siti Aminah Hasbullah, Umme Umaimah Amin, dan Norhafizi Nordin.
Siti Aminah berkata, program ini bertujuan berkongsi kepakaran kulinari, di samping memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kemahiran masakan yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian mahupun sebagai peluang keusahawanan.
Menurutnya, program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung, khususnya golongan wanita yang begitu teruja menyaksikan demonstrasi masakan daripada wakil STHEM.
“Tema demonstrasi kali ini menampilkan penggunaan tempoyak, iaitu bahan masakan tradisional yang amat digemari masyarakat Perak, sekali gus menjadikannya lebih dekat di hati komuniti setempat.
“Selain demonstrasi, karnival turut dimeriahkan dengan pertandingan masakan Dapur Berapi yang disertai oleh penduduk Kg. Ulu Chepor sendiri di mana peserta dikehendaki menyediakan hidangan tradisi Perak dengan syarat menggunakan tempoyak sebagai bahan utama,” katanya.
Wakil STHEM turut diberi tanggungjawab sebagai juri pertandingan, sekali gus memperkukuhkan peranan mereka sebagai pakar dalam bidang kulinari.
Pertandingan berlangsung penuh meriah dengan penyertaan yang aktif serta semangat kekitaan yang tinggi apabila peserta bukan sahaja berpeluang menambah ilmu baharu, malah dapat berkongsi idea, kreativiti dan pengalaman memasak. Secara tidak langsung, aktiviti ini juga telah mengeratkan hubungan silaturahim antara wakil UUM dan komuniti Kg. Ulu Chepor, di samping memperkukuhkan nilai kebersamaan melalui semangat kesukarelawanan.
Karnival Bakti MADANI ini membuktikan keprihatinan UUM dalam menyantuni masyarakat serta memperkasakan komuniti melalui ilmu dan kepakaran yang dimiliki. Penganjuran program seperti ini diyakini dapat memperluas jaringan kerjasama antara universiti dan komuniti, sekali gus memperkukuh peranan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka yang sentiasa dekat di hati masyarakat. – Siti Aminah Hasbullah