Campus

UUM perkukuh jaringan global melalui Program International Mobility: Impact STITNU Sakinah@EEPD AHSGS 2025

Berita dan gambar Maisarah Zainal Abidin

SINTOK, 27 Ogos 2025: Selaras dengan agenda pengantarabangsaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Awang Had Salleh Graduate School of Arts and Sciences (AHSGS) melalui inisiatif Executive Education and Professional Development (EEPD) telah menganjurkan International Mobility Programme: ASEAN Collaboration & Transformation 2025 (IMPACT STITNU SAKINAH@EEPD AHSGS) pada 9 hingga 22 Ogos lalu.

Program mobiliti antarabangsa ini telah melibatkan penyertaan tujuh pelajar dari Sekolah Tinggi Ilmu Tarbiyah Nahdlatul Ulama (STITNU) Sakinah, Indonesia.

Dekan AHSGS, Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar berkata, penganjuran program ini merupakan platform strategik dalam memperkukuh hubungan akademik serta memperluas jaringan kolaborasi antara UUM dan institusi pendidikan tinggi luar negara, khususnya di rantau ASEAN.

Menurutnya, sepanjang program dua minggu ini, peserta didedahkan dengan kelas intensif Bahasa Inggeris, kursus pengurusan pendidikan, serta pelbagai aktiviti luar kelas seperti lawatan, sukan dan rekreasi.

Pelaksanaan aktiviti secara bersemuka di Kampus Sintok ini turut melibatkan kerjasama pensyarah, staf pentadbiran serta pelajar UUM.

“IMPACT 2025 bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar antarabangsa mengenai sistem pendidikan tinggi di Malaysia, malah turut memberi pendedahan dalam aspek kepimpinan akademik, pengurusan institusi serta pendekatan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Program ini dijangka memberi manfaat besar kepada UUM termasuk meningkatkan reputasi dan keterlihatan UUM di peringkat antarabangsa, selain UUM juga dapat meneroka peluang baharu untuk kolaborasi akademik, pendidikan, penerbitan dan aktiviti pelajar serta membuka ruang mobiliti inbound dan outbound pelajar serta staf, khususnya antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Pada akhir program, setiap peserta menerima sijil penyertaan sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan mereka dalam inisiatif mobiliti antarabangsa anjuran AHSGS.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button