DYTM Tuanku Raja Muda Kedah Berangkat Ke UUM Open Golf Tournament
Gambar Unit Foto dan Video
SINTOK, 1 September 2025: Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah, telah perkenan berangkat ke UUM Open Golf Tournament yang berlangsung di Kelab Golf Sultan Sallehuddin, Universiti Utara Malaysia (UUM).
DYTM Tuanku Raja Muda Kedah turut perkenan berangkat menyertai UUM Open Golf Tournament dan seterusnya berangkat ke EDC UUM bagi menghadiri Majlis Santapan serta menyempurnakan Penyampaian Hadiah kepada para pemenang, Sabtu lalu 30 Ogos 2025.
Bagi kategori VIP, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Ts. Mustapha Sakmud, dinobatkan sebagai Johan yang membawa pulang seutas jam Garmin berserta piala.
Dua pelajar Akademi Golf Nasional UUM, Zia Iqmal Abdul Rasyid dan Charlayne Chong pula muncul juara bagi Kategori Pelajar (Lelaki dan Wanita).
Sebagai johan, masing-masing menerima wang tunai RM1,500, sebuah cart bag dan piala.
Zia Iqmal menampilkan ketahanan dan konsistensi apabila menamatkan permainan tiga hari berjalan kaki dengan jumlah 213 pukulan (69, 72, 72) manakala Charlayne turut mempamerkan aksi cemerlang dengan catatan keseluruhan 214 pukulan (73, 68, 73).
Selain itu, bagi ketegori terbuka gross, Abdullah Dania dinobatkan sebagai johan keseluruhan selepas mengekalkan prestasi cemerlang dengan catatan 71 pukulan pada hari pertama dan 72 pukulan pada hari kedua.
Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000, seutas jam Garmin dan piala pusingan.
Bagi Kategori Terbuka (Medal A), gelaran juara dimenangi oleh Roslan Piei yang menerima wang tunai RM1,700 berserta seutas jam Garmin.
Kategori Terbuka (Medal B) pula menyaksikan Mohamad Fisol Othman diumumkan sebagai juara, membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta Fairway Wood Qi35.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM Holdings Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Mohd Zuhri Abdullah, menzahirkan harapan agar UUM Open Golf Tournament menjadi acara berprestij yang sentiasa dinanti-nantikan oleh komuniti golf tanah air.
Dalam ucapan alu-aluan pada majlis penyampaian hadiah berkenaan, beliau menegaskan penganjuran ini bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform untuk mengukuhkan silaturahim antara pelajar Akademi Golf Nasional UUM, warga UUM dengan pemain luar, selain turut mempromosikan padang golf di Kelab Golf Sultan Sallehuddin.
“Saya berharap kejohanan hari ini menjadi titik tolak kepada penganjuran yang lebih besar dan lebih berprestij pada masa akan datang. Mudah-mudahan ia juga dapat menjadi acara dwi-tahunan yang dinanti-nanti, bukan sahaja oleh warga UUM malah oleh komuniti golf tanah air,” katanya.
Keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda Kedah disambut oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor UUM dan YBhg. Dato’ Mohd Zuhri serta dif-dif kehormat yang lain.