Campus

UUM perkasa KKP menerusi Bengkel Kompetensi OSHC

Berita dan gambar Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly

SINTOK, 1 September 2025: Bahagian Pengurusan Risiko (RMD), Jabatan Canselori dengan kerjasama Unit Latihan, Jabatan Sumber Manusia telah berjaya menganjurkan Bengkel Kompetensi Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan atau lebih dikenali dengan OSH Coordinator (OSHC) di Dewan Seminar C, Kompleks Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari, bermula 25 hingga 27 Ogos lalu itu menghimpunkan seramai 25 OSHC yang telah dilantik oleh UUM bagi pusat tanggungjawab (PTJ) masing-masing.

Timbalan Pengarah RMD Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly berkata, penganjuran ini bertujuan memperkukuh pengetahuan serta meningkatkan kemahiran para peserta demi melahirkan OSHC yang terlatih sejajar dengan tanggungjawab mereka di PTJ masing-masing.

“Usaha melahirkan OSHC yang kompeten membuktikan iltizam tinggi pihak pengurusan dalam meningkatkan prestasi pematuhan KKP di UUM,” katanya.

Sepanjang bengkel, peserta telah didedahkan dengan modul utama yang merangkumi pengenalan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta asas perundangan KKP, asas pengurusan KKP dan terma rujukan OSHC, pengurusan bahan kimia, pengenalan kepada penyakit pekerjaa, reka bentuk stesen kerja dan pencahayaan, keselamatan jentera, serta kemudahan kebajikan di premis kerja.

Selain itu, peserta turut menjalani latihan praktikal berkaitan pengenalpastian hazard, penaksiran risiko dan kawalan risiko (HIRARC) yang memberi pendedahan secara langsung dalam menilai dan mengurus risiko di tempat kerja.

Bengkel ini dikendalikan oleh Safa Safety Consultant & Services, penyedia latihan OSHC yang diiktiraf dan berdaftar dengan JKKP. Penceramah pula terdiri daripada tenaga berkaliber serta berpengalaman luas dalam penguatkuasaan perundangan KKP, sekali gus memperkayakan pengisian program.

Peserta daripada Jabatan Hal Ehwal Akademik, Azlina Yahaman menyatakan bahawa bengkel ini memberi manfaat besar dari segi pemerkasaan ilmu dalam pengurusan KKP.

Menurutnya, usaha ini dapat memperkukuh lagi pelaksanaan pengurusan KKP di UUM dengan pendekatan membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button