INASIS SME Bank mesra warga, bersedia hadapi semester baharu A252
Gambar INASIS SME Bank
SINTOK, 2 September 2025: INASIS SME Bank, seperti INASIS lain, sentiasa memastikan segala kemudahan, infrastruktur, kebajikan dan keselamatan pelajar khususnya serta warga kerja amnya berada dalam keadaan terbaik.
Sehubungan itu, pelbagai inisiatif telah dijalankan dengan kerjasama erat antara barisan Jawatankuasa Kepimpinan Pelajar/Resident Staff (JKPS/RS), felo, staf pentadbiran serta rakan kerja dari UUM Property INASIS SME Bank bagi memastikan persekitaran dan kemudahan infrastruktur sentiasa mesra pengguna.
Usaha tersebut turut mendapat sokongan padu daripada Pusat Penginapan Pelajar (SAC), Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA) dan Pejabat Naib Canselor, selain jaringan kerjasama dengan jabatan lain yang membantu kelancaran tadbir urus INASIS dari semasa ke semasa.
Selain itu, penyusunan aktiviti serta gerak kerja yang mesra pelajar dan peka terhadap aduan yang dikemukakan berhubung infrastruktur, kemudahan dan kebajikan turut memperkukuh hubungan antara pelajar dan barisan pengurusan INASIS.
Konsep “daripada pelajar untuk pelajar” dijadikan panduan dalam pengurusan kewangan INASIS bagi memastikan keperluan dan kemudahan pelajar diutamakan serta disediakan sebaik mungkin.
Menurut Pengetua INASIS SME Bank, Dr. Faisal Zulhumadi, moto Universiti Utara Malaysia (UUM) iaitu Universiti Pengurusan Terkemuka sentiasa menjadi garis panduan dalam setiap aspek pengurusan, bukan sahaja kepada pelajar bahkan juga kepada warga kerja, di samping memastikan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti dapat direalisasikan.