UUM lancar Scopus-Miner, Raikan pengiktirafan RDICE dan Felo Inovasi
Oleh Zulaidah Mat Said
Gambar oleh Shamsaimi Ezil
SINTOK, 9 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi dengan melancarkan Scopus-Miner, sebuah platform pintar analitik penerbitan yang dibangunkan untuk memantau prestasi penerbitan warga universiti secara strategik.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, dalam ucapannya berkata, pelancaran Scopus-Miner menjadi pemangkin baharu kepada usaha universiti meningkatkan pencapaian penyelidikan dan penerbitan yang lebih terarah, sistematik serta berimpak tinggi.
“Scopus-Miner akan membolehkan warga universiti, khususnya dekan dan penyelidik, membuat keputusan strategik berdasarkan data tepat serta pemantauan masa nyata. Ini penting bagi memastikan penyelidikan UUM terus memberi impak kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan penyampaian Sijil Penghargaan Inspirasi RDICE (Research, Development, Innovation, Commercialisation and Economy) serta Sijil Felo Inovasi UUM 2025/2026 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen warga akademik dalam bidang penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersialan dan ekonomi.
Seramai 32 warga UUM menerima Sijil Penghargaan Inspirasi RDICE, manakala 27 lagi menerima Sijil Felo Inovasi UUM. Penerima sijil bukan sahaja terdiri daripada pensyarah, malah pegawai tadbir dan profesional universiti turut diberi pengiktirafan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU); Dr. Mohamad Sabri Zainal, Timbalan Pengarah yang mewakili Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan; para profesor, dekan pusat pengajian serta ketua pusat tanggungjawab.