Latihan kecemasan dan CPR tingkat kesiapsiagaan kecemasan warga UUM COLGIS
Gambar Dr. Hanis Wahid dan Pejabat Pentabdiran PNC UUM COLGIS
SINTOK,10 September 2025: Pejabat Pentadbiran Penolong Naib Canselor, UUM COLGIS dengan kerjasama Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) serta Jawatankuasa Keselamatan, Risiko dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) pusat pengajian telah menganjurkan latihan kecemasan (emergency drill) dan praktikal resusitasi kardiopulmonari (CPR) bertempat di Foyer Utama UUM COLGIS, semalam.
Program itu melibatkan penyertaan staf dari Pusat Pengajian Undang-undang, Pusat Pengajian Kerajaan, Pusat Alumni, Ghazali Shafie Graduate School of Government dan Uniutama Property Sdn. Bhd. (UPSB) yang berada di bangunan COLGIS.
Penolong Naib Canselor, UUM COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, program bertujuan memberi pendedahan mengenai langkah-langkah kecemasan ketika kebakaran serta latihan asas bantuan pernafasan ketika kecemasan.
Menurutnya, program ini penting sebagai sebahagian daripada usaha universiti memastikan tahap kesiapsiagaan dan kesedaran kecemasan dalam kalangan warga kerja sentiasa berada pada tahap optimum.
“Latihan seperti ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran staf dalam menghadapi situasi kecemasan, malah menanam keyakinan untuk bertindak segera bagi menyelamatkan nyawa.
“UUM COLGIS dengan kerjasama PKKU menyokong penuh usaha universiti dalam memperkasakan budaya keselamatan dan kesejahteraan di kampus,” katanya.
Penganjuran program ini turut menekankan kerjasama dan koordinasi warga kerja UUM COLGIS dalam menghadapi kemungkinan kecemasan di tempat kerja, sekali gus menyokong agenda keselamatan dan kesihatan universiti secara menyeluruh. – Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad