Campus

Program langkah merdeka: Warga SQS disantuni

Gambar oleh Pusat Pengajian Sains Kuantitatif

SINTOK, 8 September 2025: Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah menganjurkan program “Langkah Merdeka: Warga SQS Disantuni” pada 2 September lalu bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68 yang bertemakan “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”.

Seramai 40 warga SQS yang terdiri daripada staf akademik dan pentadbiran telah menyertai program berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap gaya hidup sihat di samping memperkukuh ukhuwah serta semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja.

Menurut Pengerusi JKKP SQS, Dr. Rosmaini Kashim, “Langkah Merdeka: Warga SQS Disantuni” merujuk kepada usaha menyantuni warga SQS melalui aktiviti berjalan kaki yang bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah menyemarakkan nilai kebersamaan, semangat cintakan negara serta kesedaran terhadap kepentingan kesejahteraan di tempat kerja.

Beliau turut berkata, program ini bukan sahaja menyokong amalan gaya hidup sihat, tetapi juga menjadi simbolik kepada langkah bersama warga SQS dalam membudayakan nilai prihatin dan perpaduan.

“Kita mahu warga SQS sentiasa sihat, bersemangat dan saling menyokong antara satu sama lain. Sempena bulan kemerdekaan ini, kita juga ingin menyuntik semangat cintakan tanah air dengan cara yang segar dan bermakna,” katanya.

Aktiviti utama program ini ialah brisk walk sejauh 3 kilometer sambil mengibarkan Jalur Gemilang melalui laluan menarik sekitar kampus UUM Sintok, antaranya Ladang Rusa, Ladang Burung Unta, Tasik MAS, Ladang Ternakan JPPI dan laluan Persiaran Perdana.

Sepanjang perjalanan, para peserta bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam sekitar, malah berpeluang mengeratkan hubungan silaturahim antara staf dalam suasana santai tetapi bermakna.

Sementara itu, salah seorang peserta, Puan Azatuliffah Alwi, meluahkan rasa gembira kerana berpeluang menyertai aktiviti ini.

“Program seperti ini amat bermanfaat kerana selain menjaga kesihatan, ia juga mengeratkan hubungan sesama staf. Semoga lebih banyak aktiviti sebegini dapat dianjurkan pada masa akan datang,” ujarnya.

Program ini diakhiri dengan sesi ringkas penghargaan kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen serta sokongan terhadap inisiatif kesihatan dan keselamatan anjuran JKKP SQS.- Rosnalini Mansor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button