SQS adakan Majlis Makan Malam Alumni sempena Jubli Perak
Berita dan gambar Zamalik Hassan
PUTRAJAYA, 10 September 2025: Majlis Makan Malam Alumni SQS sempena sambutan Jubli Perak Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah berlangsung di Restoran Rebung Chef Ismail 2, di sini dengan meriah.
Bertemakan tradisional klasik, majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Kanan PayNet Malaysia merangkap Felo Adjung SQS, Muhammad Firdaus Abdul Ghani, sekali gus melancarkan Tabung Wakaf Alumni: Menaiktaraf Student Lounge SQS.
Muhammad Firdaus berkata, alumni merupakan aset paling berharga bagi sesebuah universiti.
Katanya, pengalaman luas yang dimiliki oleh semua alumni dalam bidang industri merupakan nilai tambah yang amat signifikan dalam menyokong kecemerlangan universiti.
“Saya yakin bahawa apabila alumni dan pusat pengajian berganding bahu, pelbagai peluang baharu serta kerjasama strategik dapat diwujudkan demi manfaat bersama,” katanya.
Beliau juga memberikan sumbangan untuk menaik taraf Student Lounge SQS sebanyak RM2,500 dan pemberian hadiah kepada dua pemenang “best dress” sebanyak RM500 semasa majlis berlangsung.
Sementara itu, Timbalan Dekan, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi selaku Menjalankan Tugas Dekan berkata, SQS berdiri teguh hingga ke hari ini kerana adanya gabungan tiga tunjang utama iaitu warga pusat pengajian yang berdedikasi, pelajar yang bersemangat, dan alumni yang sentiasa menyokong dari luar.
Menurutnya, semua alumni adalah bukti kejayaan SQS menjadi duta yang mengharumkan nama SQS.
Dr. Nerda Zura juga merakamkan penghargaan terima kasih atas kehadiran Pengarah Pusat Alumni UUM, dan sokongan padu yang diberikan untuk menjayakan program ini.
SQS bersyukur dengan kehadiran semua alumni, majlis makan malam ini menjadi amat bermakna dan objektif SQS untuk menyatukan alumni dan pensyarah telah terlaksana.
Semoga silaturahim antara alumni dan SQS akan berkekalan sampai bila-bila dan berharap alumni akan terus berbakti untuk kecemerlangan SQS pada masa hadapan.