Empat staf akademik UUM dinaikkan pangkat Profesor
Gambar oleh Shamsaimi Ezil
SINTOK, 11 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) meraikan kejayaan empat orang staf akademik yang telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor (VK7) berkuat kuasa 1 September 2025.
Daripada empat penerima watikah, seorang merupakan Dekan, manakala tiga lagi adalah pensyarah kanan di pusat pengajian masing-masing.
Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Prof. Dr. Selamah Maamor, merupakan salah seorang yang menerima kenaikan pangkat tersebut, sekali gus menzahirkan pengiktirafan terhadap kepimpinan serta sumbangan beliau dalam bidang akademik dan pengurusan.
Salah seorang penerima, Prof. Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam, berkata:
“Doakan saya sihat walafiat dan terus komited dalam menggalas amanah baharu ini. Jutaan terima kasih dan penghargaan buat semua pihak yang sentiasa memberi ruang dan peluang dalam pengembangan kerjaya saya sebagai seorang akademia selama ini. Saya juga percaya dengan keikhlasan, kesabaran dan komitmen berterusan, insya-Allah kejayaan pasti menyusul.”
Tiga lagi penerima ialah Prof. Dr. Soon Jan Jan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Prof. Dr. Arumugam A/L Raman, Pusat Pengajian Pendidikan dan Prof. Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi.
Watikah lantikan telah disampaikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima serta menzahirkan harapan agar mereka terus memperkasa kecemerlangan akademik, penyelidikan, dan khidmat masyarakat selaras dengan visi dan misi universiti.
Naib Canselor berkata, kenaikan pangkat itu bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik para profesor berkenaan, malah menjadi motivasi kepada seluruh warga akademik UUM untuk terus menyumbang kepada pembangunan ilmu dan reputasi universiti di peringkat nasional serta antarabangsa.