UUM Rai Majlis Penutup Sekolah Angkat MADANI, Cipta Transformasi Pendidikan SK Teloi Tua
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 12 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) telah menutup tirai Program Citra Sekolah Angkat MADANI: Meningkatkan Potensi Guru dan Murid SK Teloi Tua, Sik di Dewan Seminar B, Kompleks Konvensyen UUM.
Majlis penutupan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) SOE, Prof. Madya Dr. Mua’azam Mohamad, mewakili Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Dr. Mohd Foad berkata, melalui pendekatan sekolah angkat ini, pihaknya ingin memastikan bahawa tiada sekolah yang tercicir, tiada pelajar yang terpinggir, dan tiada komuniti yang terabai,” katanya dalam teks ucapan yang dibaca oleh Dr. Mua’azam.
Sementara itu, Guru Besar SK Teloi Tua, Mohamad Redzuwan Abdul Manas turut menzahirkan penghargaan kepada UUM.
“Saya berterima kasih kepada seluruh warga UUM yang sentiasa memberi tahap keprihatinan yang amat tinggi bermula daripada program anak angkat ini.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih juga kepada Dato’ Naib Canselor yang bersungguh-sungguh menyediakan semua keperluan anak-anak SK Teloi Tua di bawah payung Malaysia Madani, maka terciptalah Sekolah Angkat Madani yang diambil tugas oleh pihak UUM sendiri,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video korporat, penyampaian hadiah serta sesi bergambar bersama tetamu kehormat.
Program ini diharap menjadi titik tolak transformasi pendidikan ke arah sistem yang lebih inklusif, progresif dan berperikemanusiaan, seiring aspirasi Malaysia Madani. – Nur Izzatul Natasya Raymee Syam (Pelajar Pelatih dari UniMAP)