General

Anak petani peroleh PNGK 4.00 ingin jadi akauntan TLDM

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

JITRA, 16 September 2025: Kisah ketabahan seorang anak muda dari Kampung Paya Pulau Dudor menyentuh hati apabila beliau berjaya meraih keputusan cemerlang PNGK 4.00 dalam program matrikulasi dan kini memilih Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai destinasi untuk menyambung pengajian.

Mohd Shahrul Zaidi Harith Afandy, anak sulung daripada dua beradik, membesar dalam keluarga serba sederhana di mana bapanya hanya bekerja sebagai petani dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan, manakala ibunya telah meninggal dunia sejak dia masih kecil.

Meskipun berdepan cabaran hidup, Shahrul nekad menjadikan ilmu sebagai jalan mengubah nasib keluarga dengan melapor diri ke UUM pada 23 September ini untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan Kepujian sebagai program pilihan pertamanya.

“UUM adalah universiti perakaunan terbaik. Saya mahu gunakan peluang ini sebaiknya untuk mencapai cita-cita menjadi seorang akauntan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya penuh semangat.

Shahrul yang meminati bidang ketenteraan turut menzahirkan impian untuk mencabar diri menyertai Pasukan Khas Laut (PASKAL), yang terkenal dengan latihan ketahanan fizikal dan mental ekstrem.

Ditanya bagaimana dia berjaya memperoleh PNGK 4.00, Shahrul berkongsi tiga kunci utama iaitu disiplin fizikal dan mental di mana sentiasa mengekalkan kecergasan melalui latihan konsisten, dapatkan ilmu tambahan dengantidak segan bertanya kepada pensyarah dan orang berjaya, termasuk tentang teknik belajar dan pengurusan masa serta sokongan rakan-rakan yang datang daripada pelbagai latar belakang memberi pengalaman dan kefahaman yang lebih luas.

Hari ini, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, turut berkunjung ke kediaman Shahrul dalam satu lawatan khas.

Dalam pertemuan itu, beliau menyerahkan surat tawaran belajar, elaun sara hidup serta hamper makanan sebagai tanda sokongan universiti terhadap semangat juang pelajar cemerlang itu, selain borang tawaran sebagai pelajar SULUNG yang dikecualikan membayar yuran belajar.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Persatuan Alumni UUM, Cikgu Zainol @ Zainal Abidin Mohamad (Cikgu Non) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dr. Mohd Foad menyifatkan Shahrul sebagai contoh pelajar berjiwa kental yang membuktikan kesusahan hidup bukan penghalang untuk berjaya.

“UUM sentiasa meraikan pelajar yang mempunyai semangat juang tinggi seperti Shahrul yang bukan sahaja membanggakan keluarga, malah berpotensi besar untuk menjadi pemimpin muda yang memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Shahrul akan memulakan perjalanan barunya di Sintok sebagai pelajar baharu sesi akademik 2025/2026 dengan tekad menjadikan ilmu dan disiplin sebagai senjata utama dalam mengejar impian. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button