Ditawarkan ke UUM, anak tukang rumah berazam banggakan keluarga
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
KUALA NERANG, 16 September 2025: Anak tukang rumah dari Kampung Perik, Siti Nur Liyana Che Nur Imran, 19, melakar kejayaan membanggakan apabila diterima masuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Kedah dengan keputusan cemerlang PNGK 3.92.
Siti Nur Liyana, anak sulung daripada dua beradik ini berasal daripada keluarga sederhana dengan pendapatan isi rumah sekitar RM750 sebulan.
Ayahnya, Che Nur Imran Che Ahmad bekerja sendiri, manakala ibunya, Rusmasuziyana Mansor merupakan suri rumah.
Siti Nur Liyana berkata, dia memilih UUM kerana universiti itu terkenal dengan reputasi dalam bidang pengurusan dan suasana pembelajaran yang kondusif.
Menurutnya, walaupun kursus yang ditawarkan bukanlah pilihan asal, dia tetap bersyukur kerana Ijazah Sarjana Muda Kewangan yang diterima seiring dengan minat dan cita-citanya untuk bergelar akauntan.
“Harapan saya di UUM ialah untuk menimba ilmu sebanyak mungkin, memperbaiki diri serta membanggakan ibu bapa dan keluarga,” katanya penuh semangat.
Siti Nur Liyana juga menzahirkan penghargaan kepada pihak UUM yang hadir menziarahinya di rumah.
Katanya, kunjungan tersebut memberi semangat baharu buat dirinya untuk terus berusaha selain amat menghargai bantuan kewangan dan sumbangan makanan yang diberikan.
Hari ini, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Cikgu Zainol @ Zainal Abidin Mohamad atau dikenali sebagai Cikgu Non telah mengunjungi keluarga Siti Nur Liyana menyampaikan sumbangan.
Siti Nur Liyana akan melapor diri ke UUM pada 23 September ini sebagai pelajar baharu sesi akademik 2025/2026.