Pelajar cemerlang matrikulasi terima bantuan UUM, sambung impian jadi akauntan
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
POKOK SENA, 16 September 2025: Pelajar cemerlang lepasan Matrikulasi Changlun, Nurul Syafika Mohd Asri, 19, anak sulung daripada empat beradik, melahirkan rasa syukur dan terharu apabila pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) sudi hadir ke kediamannya di Kampung Seberang Paya Empa, Derang.
Berasal daripada keluarga sederhana, ayahnya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan, manakala ibunya tidak bekerja.
Namun begitu, kekangan kewangan tidak menghalang anak sulung itu untuk berjaya dan membuktikan dia berjaya memperoleh PNGJ 4.0 di matrikulasi.
“Sejak di sekolah menengah lagi saya bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan profesional.
“UUM menjadi pilihan kerana ia terkenal sebagai universiti pengurusan terbaik dan menawarkan kursus perakaunan yang saya minati,” katanya.
Nurul Syafika berkata, faktor suasana kampus yang tenang, luas dan kondusif turut mempengaruhi pilihannya.
Menurutnya, dia yakin UUM sesuai untuk fokus belajar dan membina masa depan.
Mengulas mengenai harapannya sebagai pelajar baharu, Nurul Syafika berkata, dia ingin menimba ilmu sebanyak mungkin, membina jaringan sahabat, menjadi lebih berdikari, serta menamatkan pengajian dengan cemerlang.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak UUM atas keprihatinan yang ditunjukkan.
“Bantuan ini sangat bermakna buat saya dan keluarga. InsyaAllah saya akan gunakan peluang masuk ke UUM ini sebaik mungkin,” katanya dengan penuh harapan.
Hari ini, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, turut menyantuni Nurul Syafika dan menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, surat tawaran rasmi dan barangan keperluan dapur sebagai tanda sokongan universiti terhadap semangat juang dan tekad pelajar baharu UUM.
Beliau berkata, UUM sentiasa terbuka untuk membimbing pelajar seperti Syafika dan dia bukan sahaja membanggakan keluarga, malah mampu menjadi inspirasi buat pelajar lain.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Zainal Abidin Mohamad atau dikenali sebagai Cikgu Non.
Nurul Syafika akan melapor diri ke UUM pada 23 September ini sebagai pelajar baharu sesi akademik 2025/2026.