Program Kembara AMAR: Jujur dan Amanah semarakkan nilai integriti pelajar IPT Zon Kedah
Berita dan gambar Norsyahindah Zawiah Abd Rahman dan Nur Syifa Amani Mohd Sukiman
SINTOK, 17 September 2025: Inapan Siswa (Inasis) TNB Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi saksi pelaksanaan Program Kembara AMAR Jujur & Amanah yang menghimpunkan seramai 70 peserta terdiri daripada 51 pelajar dan 19 ahli jawatankuasa daripada lima institusi pengajian tinggi (IPT) Zon Kedah iaitu Institut Kemahiran MARA (IKM) Sik, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Alor Setar serta UUM.
Program ini dianjurkan oleh Kelab AMARUUM dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah dan Unit Integriti UUM.
Pengarah Program, Norsyahindah Zawiah Abd Rahman berkata, penganjuran ini bertujuan membina rangkaian hubungan pelajar IPT, memperkukuhkan gerakan antirasuah di peringkat nasional, melatih pelajar menjadi agen perubahan beretika, serta memupuk kefahaman mendalam tentang kepentingan integriti, kejujuran, dan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Antara pengisian menarik program termasuk Explorace Game Discussion: “Integrity Path – Unlocking the Truth” yang menekankan isu integriti semasa dan menghasilkan resolusi pelajar untuk mengetengahkan kepentingan nilai keadilan serta kejujuran kepada masyarakat.
Selain itu, aktiviti “Integriti Content Creator” turut memberi peluang kepada setiap kumpulan menghasilkan filem pendek berasaskan infografik yang diberikan. Hasil karya ini dimuat naik di saluran YouTube AMAR sebagai medium kreatif menyebarkan mesej antirasuah.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Mansor Mohamad, wakil kepada Pengarah SPRM Kedah.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah atas komitmen universiti dan menegaskan bahawa mahasiswa perlu menjadi frontliner yang berani menolak rasuah, menegakkan kebenaran serta tampil sebagai contoh teladan kepada masyarakat.
Turut hadir, Ketua Unit Integriti UUM, Muzamil Mahmud dan pegawai-pegawai kanan universiti.