Anak pemandu lori terpilih ke UUM, berhasrat jadi penganalisis ekonomi
Gambar Mohd Fuad Hamid
KUALA NERUS, 19 September 2025: Kisah kejayaan seorang anak kampung yang tekun menimba ilmu menjadi perhatian apabila Fatin Syazwani Rosmadi, 20, diterima masuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi dengan Kepujian.
Fatin, anak kedua daripada tiga beradik, merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan PNGK 3.50 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekali gus membuka jalan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Bapanya, Rosmadi Awang, bekerja sebagai pemandu dengan pendapatan kira-kira RM1,600 sebulan, manakala ibunya, Rohaya Endut, seorang suri rumah.
Meskipun datang daripada keluarga sederhana, semangat Fatin untuk berjaya tidak pernah luntur.
Fatin berkata, UUM yang menjadi pilihan keempat ketika permohonan UPU telah menepati cita-cita serta minatnya untuk menjadi penganalisis ekonomi.
“Saya tertarik dengan suasana pembelajaran di UUM yang lengkap dengan kemudahan dan persekitaran kondusif.
“Harapan saya, pengalaman ini menjadi landasan untuk membina masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Katanya lagi, UUM bukan sahaja menekankan akademik tetapi juga pembangunan sahsiah pelajar, sesuatu yang sangat dihargainya.
Semalam, UUM yang diketuai Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan telah hadir ke kediaman keluarganya di Kampung Pak Katak bagi menyerahkan bantuan keperluan dapur, sumbangan kewangan serta surat tawaran rasmi.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak UUM kerana sudi datang ke rumah kami.
“Bantuan ini amat bermakna buat saya dan keluarga, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk saya terus belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Kisah Fatin membuktikan bahawa dengan usaha dan tekad yang kuat, anak-anak daripada keluarga sederhana juga mampu melakar kejayaan dan menjadi contoh kepada masyarakat setempat.