General

Izleen, anak tunggal peroleh PNGK 4.0 mahu jadi auditor

Gambar Mohd Fuad Hamid

KUALA TERENGGANU, 19 September 2025: Nurysleen Batrisyia Hafizi, atau lebih mesra dipanggil Izleen, berasal dari Taman Katong Jaya, berjaya diterima masuk bagi mengikuti program Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM) seteleh memperoleh PNGK 4.00 dari Matrikulasi.

Izleen atau Leen melakar permulaan baharu buat diri dan ibunya yang menjadi tulang belakang hidup anak tunggal itu.

Izleen membesar dalam keluarga yang berpecah di mana ibu dan ayahnya bercerai sejak 10 tahun lalu. Anak tunggal ini tinggal bersama ibunya yang bekerja sebagai juruteknik percetakan dengan pendapatan bersih sekitar RM2,000 sebulan. Meskipun begitu, kasih sayang dan doa seorang ibu menjadi penguat semangatnya.

Katanya, cita-citanya adalah menjadi pengaudit yang berjaya. Bidang audit sentiasa ada permintaan tinggi, sama ada di firma audit, syarikat multinasional, agensi kerajaan atau sebagai auditor dalaman.

Ditanya rahsia mendapat PNGK 4.0, Izleen tersenyum lalu berkongsi tipnya iaitu fokus 100 peratus di dalam kelas, tidak bermain telefon kecuali untuk merakam nota, tidak segan bertanya kepada pensyarah atau rakan sekelas, banyak membuat latihan soalan tahun-tahun lepas dan yang paling penting ialah menghormati pensyarah dan ibu bapa, kerana keberkatan ilmu lahir daripada mereka.

Semalam, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan bersama-sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, turut menyantuni Izleen dengan surat tawaran rasmi, barangan keperluan dapur dan surat tawaran rasmi.

Dr. Mohd Foad berkata, kisah pelajar seperti Izleen boleh menjadi inspirasi dan contoh kepada anak muda lain.

“Saya doakan Leen akan berjaya dalam belajar dan kerjayanya nanti,” katanya.

Selamat datang ke Sintok, Izleen. Dari Kuala Terengganu ke UUM, impianmu kini bermula. – Kori Ariff

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button