Air mata seorang ayah mahu Sadriena jadi pegawai bank berjaya
Gambar Mohd Fuad Hamid
KUALA TERENGGANU, 19 September 2025: Titisan air mata seorang ayah menjadi saksi penuh rasa syukur dan bangga apabila rombongan Universiti Utara Malaysia (UUM) diketuai Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan hadir ke rumah pelajar baharu, Tengku Nur Sadriena Tengku Mohd Zuzanal di Kampung Banggol Kemang, Kuala Terengganu, semalam.
Sadriena, 20, anak sulung daripada empat beradik, bakal memulakan pengajian dalam Sarjana Muda Ekonomi di kampus hijau Sintok.
Walaupun kehidupan keluarganya sederhana di mana si ayah bekerja sambilan sebagai penghantar barang dan ibu sebagai promoter di pasar raya, namun semangat mereka untuk melihat anak sulung berjaya tidak pernah pudar.
Sadriena dengan penuh tekad berkata, dia memilih program Ekonomi kerana sejak di STPM sudah mula berminat mendalami bidang ini.
Menurutnya, bermula dari situ dia bertekad mahu melibatkan diri dalam kerjaya perbankan.
Di sebalik kelembutan perwatakan, Sadriena seorang yang rajin, sanggup melakukan kerja sambilan bagi membantu menampung bayaran yuran pendaftaran.
Hobinya membaca buku sambil menikmati pemandangan, manakala di padang, anak muda ini cukup lincah bermain bola jaring, sukan yang digemarinya sejak sekolah rendah lagi.
Suasana ketika kunjungan UUM ke rumahnya cukup mengharukan. Ayahnya yang baru pulang dari kerja kelihatan beberapa kali mengesat air mata sepanjang pertemuan itu.
Walaupun tidak banyak berbicara, senyuman syukur dan wajah sebaknya sudah cukup menggambarkan kebanggaan seorang bapa melihat anak sulungnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.
Dalam kunjungan tersebut, Dr. Mohd Foad turut menyampaikan surat tawaran rasmi dan barangan keperluan dapur.
Beliau berkata, kisah pelajar seperti Sadriena melambangkan semangat juang anak muda.
“Marilah sama-sama kita membantu agar beliau mencapai cita-cita kerjaya dan dapat belajar dengan sebaiknya ketika di kampus hijau UUM,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.
Dari Kampung Banggol Kemang ke Sintok, langkah Sadriena kini menuju masa depan. – Kori Ariff