Bakal melangkah ke UUM, Tan Xin Yi ingin jadi PTD
Gambar Mohd Fuad Hamid
MELAKA, 21 September 2025: Tan Xin Yi, pelajar berusia 20 tahun dari Taman Bukit Melaka, melangkah ke fasa baharu apabila diterima masuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi Program Sarjana Muda Pengurusan Awam.
Berbekalkan PNGK 3.59 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Xin Yi membuktikan bahawa dugaan hidup bukan alasan untuk menyerah kalah.
Kehidupannya penuh cabaran apabila bapanya kini bertarung dengan kanser usus dan masih dirawat di hospital sejak September tahun lalu, manakala ibunya pula bekerja sendiri dengan mengambil upah menghantar dan menjemput murid sekolah.
Dalam kesibukan itu, ibunya turut menjaga adik bongsu Xin Yi berusia tujuh tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down, dan seorang lagi adik yang masih bersekolah.
Untuk ke Sintok, keluarga ini akan menaiki teksi kerana kereta yang ada tidak sesuai digunakan untuk perjalanan jauh.
Xin Yi berkata, dia bercita-cita untuk menjadi seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang berkhidmat dalam sektor kerajaan, mengurus dasar awam dan pembangunan negara.
Menurutnya, bidang itu memang dekat di hatinya kerana ia memberi peluang untuk menyumbang terus kepada masyarakat.
Di sebalik kesibukan belajar, Xin Yi tetap aktif meluangkan masa dengan hobi yang sederhana tetapi bermakna dengan bermain badminton bersama adik dan berbasikal di taman untuk menghilangkan tekanan.
Semalam, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, hadir menyantuni Xin Yi dengan menyerahkan surat tawaran rasmi, bakul makanan, serta bantuan awal pengajian.
Dr. Mohd Foad berkata, kisah Xin Yi adalah bukti bahawa cabaran keluarga bukan halangan untuk berjaya.
“Dengan semangat dan ketabahan yang ditunjukkan, saya percaya Xin Yi mampu mencapai cita-cita menjadi seorang PTD suatu hari nanti,” katanya.
Dari rumah penuh pengorbanan ke Sintok yang penuh harapan, perjalanan Xin Yi baru bermula, dengan impian besar untuk membina masa depan negara. – Kori Ariff