General

Kembar seiras berpisah demi menuntut ilmu di universiti berbeza

Gambar Mohd Fuad Hamid

AMPANG, 21 September 2025: Hidup di sebuah flat sederhana di Taman Mulia, dekat sini tidak pernah memadamkan impian seorang gadis bernama Hasfalina Husman, anak ke-10 daripada 11 beradik.

Suasana di rumah kecilnya di tingkat lima bertukar sebak apabila delegasi Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai Pengarahnya, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhamad Suhaimi, mengadakan Ziarah Kasih Madani untuk menyantuni keluarga ini.

Dalam kunjungan tersebut, Hasfalina menerima surat tawaran rasmi ke Program Perniagaan Antarabangsa, bakul makanan sebagai tanda prihatin dan sumbangan tunai bagi meringankan beban keluarganya.

Hasfalina tidak dapat menahan air mata kerana terlalu terharu. Sejak sekian lama, dia bimbang tentang kewangan keluarga memandangkan ayahnya hanya bekerja sebagai buruh binaan, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa. Dengan pendapatan yang serba tidak mencukupi, hasrat melanjutkan pelajaran ke universiti sering dirasakan terlalu jauh dari genggaman.

Namun, hari ini segala-galanya berubah. Selepas dijelaskan jenis-jenis bantuan yang UUM akan bantu, gadis itu menarik nafas lega.

Kehadiran UUM memberi sinar baharu, menyalakan harapan bahawa impian untuk bergelar graduan kini bukan lagi mimpi.

Lebih menarik, Hasfalina sebenarnya seorang kembar seiras. Namun, buat pertama kali dalam hidup, mereka akan berpisah kerana Hasfalina memilih UUM, manakala kakaknya pula diterima ke Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sejak kecil mereka tidak pernah berpisah, kini kedua-duanya melangkah ke dunia universiti dengan arah berbeza.

Delegasi UUM sendiri turut merasai kesungguhan keluarga ini. Untuk sampai ke rumah Hasfalina, mereka perlu menaiki tangga ke tingkat lima setiap kali keluar masuk.

Bayangkan, inilah rutin harian keluarga besar ini yang sudah sebati dalam kehidupan mereka.

“Saya tak sangka impian saya akhirnya jadi nyata. Walaupun susah, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk banggakan mak ayah, keluarga dan UUM,” katanya dalam nada sebak. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button