Prof. Norazah mendahului senarai Saintis Wanita Malaysia dalam senarai 2% Teratas Saintis Dunia oleh Elsevier dan Universiti Stanford
Berita dan gambar Prof. Ts Dr. Norazah Mohd Suki
SINTOK, 21 September 2025: Malaysia meraikan satu pencapaian akademik yang membanggakan apabila Prof. Ts Dr. Norazah Mohd Suki dari Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi dinamakan sebagai saintis wanita terbaik negara dalam senarai 2% Teratas Saintis Dunia oleh Elsevier dan Universiti Stanford.
Beliau berada di kedudukan ke-167 dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan, serta di tempat ke-5,173 secara keseluruhan dalam kalangan 100,000 saintis terkemuka di seluruh dunia.
Ini merupakan penampilan beliau yang ketujuh berturut-turut dalam senarai tersebut (2019–2025), mengukuhkan lagi pengaruh dan kepimpinan berterusannya dalam bidang pengkhususan beliau.
Senarai 2% Teratas Saintis Dunia oleh Elsevier dan Universiti Stanford, yang berdasarkan data Scopus meliputi lebih sembilan juta penyelidik aktif, mengenal pasti saintis teratas dunia yang berada dalam kelompok 2% teratas.
Penyelidik diklasifikasikan kepada 22 bidang utama dan 174 sub bidang, dengan pemeringkatan ditentukan oleh skor komposit sitasi (c-score) yang mengambil kira jumlah sitasi, indeks-H, kerjasama penulisan bersama, serta kedudukan sebagai pengarang utama atau bersama.
Dr. Norazah berkata, kejayaan ini adalah hasil dedikasi selama bertahun-tahun, dan saya amat berbesar hati dapat mewakili Malaysia dan wanita dalam sains di pentas antarabangsa.
Dikenali dengan penyelidikannya dalam bidang tingkah laku pengguna, pemasaran hijau, dan kelestarian dalam perniagaan, hasil kerja beliau terus memberi kesan kepada wacana akademik dan dasar praktikal, sambil mempromosikan amalan perniagaan bertanggungjawab dan penggunaan lestari.
Beliau kini memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Hubungan Korporat) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM.
Sementara itu, Naib Canselor , Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu pencapaian penting bagi universiti dan negara.
“Kejayaan beliau mencerminkan komitmen berterusan UUM terhadap kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi. Ini adalah detik yang membanggakan untuk seluruh komuniti akademik Malaysia,” katanya.
Pencapaian Prof. Norazah bukan sahaja menyerlahkan kecemerlangan peribadinya, malah mengukuhkan profil penyelidikan Malaysia yang semakin berkembang di peringkat global.
Ia juga menyerlahkan sumbangan penting saintis wanita dalam memajukan ilmu pengetahuan, inovasi, dan dasar awam.