Campus

Megat Sany cadangkan UUM laksana pendaftaran secara online sepenuh

Gambar oleh Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 23 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) dicadangkan melaksanakan pendaftaran akademik dan penginapan pelajar secara dalam talian sepenuhnya.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, berkata langkah itu sejajar dengan hasrat ke arah universiti pintar yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Dr. Megat Sany, yang menjalankan fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, berkata perubahan perlu dilakukan dari semasa ke semasa agar perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat sentiasa bertambah baik.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengurusan UUM dalam memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.


“Saya turut membuat tinjauan ke beberapa Kolej Kediaman atau INASIS, yang menunjukkan proses pendaftaran dan pengurusan berada pada tahap baik,” katanya pada sesi Bicara Naib Canselor Bersama Waris sempena Minggu Suai Kenal (MSK) 2025/2026 di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Dr. Megat Sany, yang juga alumni UUM, berkata berbeza dengan universiti lain, UUM menyediakan penginapan penuh kepada semua pelajar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang menghantar anak-anak ke UUM kerana universiti ini merupakan pilihan terbaik untuk mereka mencapai kejayaan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, dalam ucapannya menegaskan bahawa kejayaan pelajar tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui kekuatan sahsiah, kepimpinan, dan kematangan diri.

“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada UUM untuk mendidik anak-anak tuan-tuan dan puan-puan. Kami komited memastikan mereka bukan sahaja memperoleh ijazah, tetapi juga nilai moral, kepimpinan, dan potensi sebenar,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed; ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; ketua-ketua Pusat Tanggungjawab; barisan Pegawai Kanan Universiti; Mohamad Amar Aidid Mohd Zain, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar; serta Muhammad Syafiq Haikal Safie, Pengarah MSK 2025/2026.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button