UUMKL terima 141 pelajar baharu bagi Sesi September 2025 (DC251)
Berita dan gambar Hisaruddin Ahmat
KUALA LUMPUR, 24 September 2025: UUM Kampus Kuala Lumpur menerima kemasukan seramai 141 pelajar baharu bagi Semester September (DC251) yang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.
Sesi taklimat pendaftaran telah diadakan secara atas hibrid melibatkan semua pelajar tersebut termasuk 70 orang pelajar hadir secara fizikal dan termasuk 22 orang pelajar antarabangsa daripada Jordan, Uzbekistan, Pakistan, China, Nigeria, Indonesia, Bangladesh, dan Somalia.
Dekan Akademik UUMKL, Prof. Madya Dr. Ahmad Rizal dalam sesi pembukaan berkata, UUM Kampus Kuala Lumpur sentiasa terbuka menerima cadangan penambahbaikan dan akan sentiasa bersedia memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelajar.
Menurutnya, pada tahap ini, pelajar bukan sahaja dituntut menguasai ilmu, tetapi juga mampu menganalisis, menilai, dan membentuk pandangan sendiri berasaskan fakta serta hujah yang kukuh.
“Walaupun tidak menumpukan kepada penyelidikan sepenuhnya, pelajar perlu mampu menilai teori, menganalisis tugasan, serta menghubungkait ilmu dengan situasi sebenar.
“Tanpa pemikiran kritis, pembelajaran hanya akan jadi hafalan semata-mata. Dengan berfikir secara mendalam, kita dapat menghasilkan kerja kursus yang berkualiti, berhujah dengan matang, dan membina kemahiran profesional yang diperlukan di dunia sebenar,” katanya.
Turut diadakan sesi taklimat akademik dan kewangan, selain pelajar didedahkan dengan tatacara mengakses portal pelajar, prosedur pendaftaran kursus dan penggunaan khidmat perpustakaan dari wakil Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah.