Lawatan akademik Hacer Kübra Sevinç dari University of Karabuk ke SOC UUM
Disediakan dan gambar oleh: Gs. Dr. Nur Suhaili Binti Mansor
SINTOK, 5 Oktober 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima lawatan Hacer Kübra Sevinç dari University of Karabuk, Turki bermula 25 September hingga 5 Oktober 2025 melalui Program Mobiliti ERASMUS KA171.
Sepanjang lawatan tersebut, Hacer Kübra terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk lawatan ke Sintok, Changlun dan Alor Setar, serta lawatan komuniti di Kampung Rawa. Beliau turut menghadiri sesi perbincangan bersama pensyarah SOC dan melawat makmal penyelidikan seperti Human-Centered Computing Research Lab serta Data Science Research Lab.
Pada 1 Oktober, sesi perbincangan mengenai geran penyelidikan telah diadakan bersama pensyarah UUM, diikuti dengan perkongsian ilmu oleh Hacer Kübra dan rakan-rakan penyelidik. Sesi ini merupakan peluang berharga untuk pertukaran idea dan pengalaman penyelidikan antara dua institusi.
Pada 2 Oktober, Hacer Kübra telah mengendalikan bengkel penulisan akademik bertajuk “How to Write a Good Paper?” untuk pelajar PhD dan Sarjana di Institut Peluang Digital Lanjutan dan Pintar (IASDO). Selain itu, kunjungan hormat ke Pejabat Dekan SOC, Prof. Dr. Osman Ghazali turut diadakan sebagai tanda penghargaan serta bagi mempererat jaringan kerjasama akademik.
Lawatan ini dijangka membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan dan akademik yang lebih erat antara UUM dan University of Karabuk, seterusnya melahirkan peluang pembangunan kepakaran serta inovasi teknologi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan komuniti pendidikan serantau – Gs. Dr. Nur Suhaili Binti Mansor