Campus

Putera Iman Shah terima sumbangan komputer riba dan wang tunai daripada YPM

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 8 Oktober 2025: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran, 19, menerima sumbangan berupa komputer riba dan wang tunai sebanyak RM1,000 daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM), seperti yang dijanjikan oleh Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, pada penghujung September lalu.

Majlis penyerahan sumbangan telah berlangsung di Balai Tamu, yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah YPM, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, dengan disaksikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Syed Mohd Johan berkata, penyerahan sumbangan tersebut melambangkan keprihatinan pihak MARA dan YPM serta Dr. Asyraf terhadap kebajikan pelajar, khususnya selepas kisah Putera Iman Shah tular di media sosial baru-baru ini.

“Kami berharap bantuan ini dapat menjadi dorongan buat Putera untuk terus bersemangat menuntut ilmu walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya telah menyampaikan amanah ini dan berharap dia akan terus berjaya serta mengharumkan nama universiti, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Sementara itu, Putera Iman Shah menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Dato’ Dr. Asyraf Wajdi dan pihak MARA atas sumbangan yang diberikan.

“Saya amat berterima kasih atas bantuan ini kerana ia benar-benar meringankan beban dan memberi semangat baharu untuk saya belajar bersungguh-sungguh.

“Saya mahu gunakan peluang ini untuk berjaya dan suatu hari nanti menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian sumbangan komputer riba kepada pelajar daripada keluarga B40 sebagai usaha berterusan membantu pelajar yang memerlukan kemudahan pembelajaran yang lebih baik.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi; Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Zainudin Omar dan pegawai-pegawai universiti serta wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button