Dah dapat kerja gaji RM4,200 sebulan, biarpun 18 pelajar STML belum konvo
Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 7 Oktober 2025: Seramai 18 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal melangkah ke dunia kerjaya dengan penuh bergaya apabila mereka ditawarkan pekerjaan tetap dengan gaji permulaan RM4,200 sebulan sebelum sempat menghadiri majlis konvokesyen universiti pada November ini.
Mereka merupakan peserta Program Elite Management Trainee (EMT) hasil kerjasama strategik antara UUM melalui Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan PKT Logistics Group Sdn. Bhd., yang berlangsung selama hampir setahun melalui proses pemilihan dan latihan industri yang intensif.
Gaji premium yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi ialah RM4,000 sebulan.
Berucap dalam majlis graduasi program EMT, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kolaborasi pintar antara universiti dan industri mampu melahirkan model pembangunan modal insan yang holistik, dinamik dan berimpak tinggi.
Pelaksanaan program EMT ini bermula seawal Januari 2024 dengan sesi taklimat dan pemilihan pelajar STML. Hanya 18 pelajar terbaik dari program BBA (Logistics & Transportation), BMOT dan BOM telah dipilih selepas melalui ujian dan temuduga bersama pihak PKT.
Mereka kemudian menjalani beberapa peringkat latihan termasuk:
- Latihan industri semasa cuti semester di cawangan PKT di Batu Kawan dan seluruh negara,
- Latihan praktikum sepenuh masa pada semester akhir,
- Rotasi jabatan selama tiga peringkat bagi melengkapkan kefahaman menyeluruh terhadap operasi logistik sebenar.
Timeline program yang tersusun rapi bermula Januari 2024 hingga Ogos 2025 telah mempersiapkan mereka bukan sahaja sebagai graduan, tetapi sebagai bakal eksekutif pengurusan dalam industri logistik moden.
Kejayaan 18 pelajar ini benar-benar membanggakan apabila Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics, Dato’ Seri (Dr.) Michael Tio, berpuas hati dengan prestasi mereka lalu menaikkan gaji permulaan daripada RM4,000 kepada RM4,200 sebulan.
Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad berkata, langkah ini selaras dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan bernilai tinggi dan memperkukuh hubungan strategik universiti–industri.
“Sesungguhnya, Dato’ Seri Dr. Michael Tio telah membantu graduan UUM dan memberi khidmat nasihat industri terbaik untuk universiti ini melahirkan graduan yang sangat dikehendaki industri,” katanya.
Sementara itu, Nurhanis Azman menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman yang mengubah cara beliau melihat dunia pekerjaan.
“ianya sangat mencabar, tetapi sangat berharga kerana membuka mata kami kepada realiti sebenar industri logistik,” katanya.
Bagi Ooi Jun Wei, pengalaman bekerja dalam pasukan pelbagai budaya menjadikan beliau lebih yakin dan bersedia menyumbang idea baharu.
“Saya belajar bagaimana disiplin dan kepimpinan menjadi tunjang kejayaan organisasi besar. Kini saya lebih faham tanggungjawab sebagai pengurus masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, Nhishaliny A/P Chandra Segran berkata, latihan intensif itu telah meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan dirinya.
“Program EMT memberi peluang kepada kami membuktikan kemampuan sebenar sebelum bergraduasi. Saya amat berterima kasih kepada UUM dan PKT atas peluang ini,” katanya.
Majlis graduasi EMT yang berlangsung pada 7 Oktober 2025 di Pusat Islam UUM, turut dihadiri Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh dan Ketua Pegawai Operasi PKT Logistics, Dr. Jason Cheah.