Prof. TPr. DR. Dani Salleh tekankan kefahaman rakyat terhadap pelan pembangunan kunci ke arah pembangunan inklusif
Gambar oleh Shamsaimi Bin Ezil
SINTOK, 8 Oktober 2025: Kefahaman rakyat terhadap dokumen perancangan pembangunan merupakan kunci kepada pelaksanaan pembangunan yang benar-benar inklusif dan mampan, demikian ditekankan oleh Profesor TPr. Dr. Dani bin Salleh dalam Syarahan Pengukuhan Profesor Siri 4/2025 bertajuk “Empowering Citizens Through Development Plan Literacy: A Key to Inclusive Growth” yang diadakan di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program syarahan ini menyentuh satu aspek strategik dalam pembangunan, iaitu bagaimana kefahaman rakyat terhadap pelan pembangunan dapat memberdayakan mereka untuk terlibat secara lebih aktif dalam proses pembangunan negara.
Literasi ini penting bagi memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif, adil dan menyeluruh, di mana setiap suara rakyat diambil kira dalam membentuk masa depan yang lebih mampan.
Dalam syarahannya, Profesor TPr. Dr. Dani menegaskan bahawa masyarakat yang paling terkesan dengan sesuatu dasar termasuk komuniti nelayan dan penduduk luar bandar sering kali tidak memahami bahasa teknikal dalam dokumen rasmi, sedangkan dokumen tersebut menentukan hala tuju kehidupan dan masa depan mereka.
“Penyertaan sebenar tidak bermaksud sekadar menghadiri mesyuarat atau forum, tetapi memiliki keupayaan untuk memahami, meneliti serta mengemukakan persoalan yang kritikal terhadap rancangan pembangunan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa literasi terhadap pelan pembangunan perlu diperkukuh agar rakyat dapat menilai kesan sebenar sesuatu dasar dan menjadi peserta aktif dalam menentukan masa depan komuniti mereka.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada Pelan Induk Pengangkutan yang diumumkan pada Mac lalu yang memperlihatkan kepentingan kefahaman masyarakat terhadap dasar kerajaan agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara adil dan seimbang.
“Bahasa pembangunan perlu menjadi bahasa rakyat agar mereka bukan sekadar pemerhati pasif, tetapi peserta aktif dalam proses pembangunan negara,” katanya.
Mengakhiri syarahan, beliau menyeru agar usaha memperkukuh literasi dasar dan perancangan dalam kalangan rakyat dijadikan keutamaan nasional, kerana tanpa kefahaman, keadilan tidak akan dapat dicapai dan pembangunan tidak akan lestari.