Education

Program GUGAH Umbi Zon Utara perkasa usahawan mikro

Gambar Dr. Muhammad Azwan Abd Rahman dan Nur Raihan Yasmin

SINTOK, 14 Jun 2026: Program GUGAH Usahawan Mikro Berbudi Daya Zon Utara telah berlangsung dengan jayanya sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan strategi perniagaan kepada usahawan mikro dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Ketua Projek UMBI, Dr. Muhammad Azwan Abd Rahman berkata, program ini bertujuan memperkasakan usahawan mikro melalui pendedahan berkaitan pengurusan kewangan, cabaran perniagaan, motivasi keusahawanan serta penggunaan platform digital bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan secara lebih mampan dan berdaya saing.

Program ini menghimpunkan peserta usahawan mikro dari tiga negeri di Zon Utara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang perniagaan yang menjadikan program ini sebagai medan perkongsian yang bermanfaat, khususnya dalam memperkukuhkan pengetahuan, keyakinan dan daya tahan usahawan mikro untuk terus bersaing dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar.

Majlis turut disertai barisan ahli akademik, penilai zon, sekretariat program serta tetamu jemputan yang terlibat secara langsung dalam agenda pembangunan usahawan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Dr. Sharif Shofirun Sharif Ali yang mewakili Dekan SOG, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dr. Sharif Shofirun berkata, program ini menzahirkan sokongan UUM terhadap usaha memperkasakan komuniti usahawan mikro melalui program berimpak yang memberi tumpuan kepada pembangunan ilmu, kemahiran dan jaringan keusahawanan.

Program ini turut menampilkan tiga sesi perkongsian bersama usahawan dan pembicara berpengalaman iaitu Pengasas Wirda Izzara Food, Noranizawati Ismail menerusi perkongsian bertajuk “Kunci Kira-Kira Tahunan: Mengurus Kewangan Perniagaan”.

Beliau berkongsi pengalaman dalam mengurus perniagaan makanan dan minuman serta kepentingan pengurusan kewangan yang teratur bagi memastikan kelangsungan sesebuah perniagaan.

Sesi kedua pula menampilkan usahawan tempatan dalam bidang pertanian dan produk minuman, Mohd Hasrol Abd Rashid yang berkongsi topik “Cabaran Perniagaan dan Motivasi”.

Perkongsian beliau memberi pendedahan kepada peserta tentang realiti cabaran yang dihadapi oleh usahawan mikro, termasuk keperluan untuk terus berusaha, menyesuaikan strategi perniagaan dan membina ketahanan diri dalam mengembangkan perusahaan.

Sementara itu, sesi ketiga disampaikan oleh Pembicara Pembangunan Usahawan, Serina Datuk Redzuawan melalui tajuk ‘Kenali Platform Anda: Platform Digital’ yang berkongsi kepentingan penggunaan platform digital sebagai medium memperluas capaian pasaran, membina jenama dan meningkatkan keberkesanan promosi perniagaan dalam era ekonomi digital.

Ketiga-tiga sesi perkongsian tersebut dikendalikan oleh Dr. Muhammad Hafiz Abdul Razak selaku moderator program. Melalui sesi yang interaktif dan santai, peserta berpeluang mendapatkan input secara langsung daripada pembicara berkaitan pengalaman sebenar dalam dunia keusahawanan, strategi mengurus cabaran serta kaedah memperkukuh potensi perniagaan masing-masing.

Program GUGAH Usahawan Mikro Berbudi Daya Zon Utara ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan mikro yang lebih berdaya tahan, kreatif dan kompetitif.

Melalui perkongsian ilmu serta pengalaman yang diperoleh, peserta diharap mampu memperkukuh hala tuju perniagaan masing-masing dan terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat. – Dr. Aidanajwa Sabri

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button