Campus

Hampir 20 tahun berkhidmat, kenaikan pangkat dianggap anugerah terindah

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 9 Oktober 2025: Setelah hampir dua dekad mencurahkan bakti sebagai pensyarah, Dr. Azahar Kasim hari ini meluahkan rasa syukur apabila menerima watikah kenaikan pangkat sebagai Profesor Madya.

Watikah tersebut telah disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.

Beliau merupakan salah seorang daripada 18 penerima watikah kenaikan pangkat, yang terdiri daripada lima penerima Profesor (VK7) dan 13 penerima Profesor Madya (DS14).

Dr. Azahar yang berkhidmat di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan universiti atas pengiktirafan terhadap usaha beliau dalam memperkukuh imej UUM sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Menurutnya, perjuangan untuk mendapatkan pangkat Profesor Madya ini bergantung kepada keupayaan dalam menghasilkan kerja-kerja akademik yang menjadi tanggungjawab utama setiap pensyarah universiti.

“Kerja akademik adalah asas untuk mengangkat martabat seseorang pensyarah. Namun begitu, kerja-kerja pentadbiran juga tetap dilaksanakan bagi menyokong kemajuan universiti dari pelbagai aspek.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kerja pentadbiran untuk naik pangkat, tetapi ia tetap memainkan peranan penting,” katanya yang merupakan mantan Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Nabisah Ibrahim dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SASP) turut melahirkan rasa syukur atas kenaikan pangkat yang diterimanya.

Beliau menganggap kejayaan tersebut sebagai hasil kerjasama dan sokongan padu daripada rakan sekerja di pusat pengajiannya.

Memulakan kerjaya akademik sebagai tutor pada tahun 2008, Dr. Nabisah dilantik sebagai Pensyarah Kanan pada 2014.

Menurutnya, perjalanan menuju gelaran Profesor Madya merupakan satu proses yang panjang dan penuh cabaran.

“Kenaikan pangkat ini bukanlah hasil usaha peribadi semata-mata. Ia adalah hasil daripada sokongan dan dorongan berterusan daripada warga SAPSP. Tanpa mereka, saya tidak akan berada di tahap ini,” katanya.

Pada majlis itu, lima staf akademik yang menerima kenaikan pangkat ke jawatan Profesor (VK7) ialah Prof. Dr. Faizuniah Pangil, Prof. Dr. Norhani Aripin, Prof. Dr. Nor Idayu Mahat, Prof. Dr. Siti Noor Ismail dan Prof. Ts. Dr. Mohd Faizal Omar.

Hadir sama, Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah serta Pengarah Canselori, Mohd Zulkifli Mohd Noor.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button