Audit Pensijilan Semula MS ISO 9001:2015 telah berjaya dilaksanakan di UUM
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 9 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatatkan satu Nonconformity Requirement (NCR) dan 18 Opportunity for Improvement (OFI) semasa pengauditan SIRIM bagi Audit Pensijilan Semula MS ISO 9001:2015 yang berakhir semalam, selepas dijalankan selama tiga hari bermula 6 Oktober lalu.
Ketua Auditor, Muhamad Hadie Aizzat Asli berkata, UUM berjaya melalui pensijilan semula namun, universiti perlu memastikan semua tindakan pembetulan terhadap ketakakuran yang dikeluarkan supaya ditutup dengan memuaskan.
Menurutnya, bagi OFI pula, meskipun menunjukkan peningkatan jumlah penemuan berbanding tahun sebelumnya, keadaan itu masih menggambarkan perkembangan positif memandangkan skop pensijilan telah diperluaskan meliputi lebih banyak proses dan unit di seluruh UUM.
“Peningkatan ini mencerminkan peluang penambahbaikan yang lebih luas bagi memperkukuh sistem, meningkatkan keberkesanan proses serta menambah baik kualiti kerja dan perkhidmatan di seluruh universiti.
“Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama kepada auditor SIRIM, khususnya Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA),” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani, yang mempengerusikan Mesyuarat Penutup Pengauditan SIRIM – Audit Pensijilan Semula MS ISO 9001:2015, merakamkan penghargaan kepada semua juruaudit SIRIM yang hadir ke UUM selama tiga hari.
Menurutnya, UUM sentiasa terbuka menerima sebarang teguran dan cadangan bagi menambah baik sistem pengurusan kualiti secara berterusan.
Pengarah PPQA, Prof. Dr. Mohd Haniff Jedin, turut berharap agar semua dekan dan ketua pusat tanggungjawab mengambil perhatian terhadap teguran yang diberikan, seterusnya melaksanakan penambahbaikan agar UUM memperoleh semula pensijilan tersebut pada tahun hadapan.
Tiga skop pensijilan meliputi reka bentuk dan pembangunan program pendidikan di peringkat Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa dan separuh masa serta pascasiswazah; perkhidmatan pendidikan di peringkat Sarjana Muda sepenuh masa dan separuh masa serta pascasiswazah dan pengurusan penyelidikan, penerbitan, perkhidmatan perpustakaan dan lain-lain perkhidmatan sokongan.