Campus

Tiga Projek Komuniti Uum terima Geran UNIMADANI bernilai RM600,000

Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 10 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan komitmennya terhadap pembangunan komuniti apabila sebanyak 23 projek komuniti menerima geran dalam majlis yang diadakan sempena Festival of Ideas (FOI) @ Kedah 2025 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM Sintok, hari ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI).

Majlis penyampaian geran telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad bin Sakdan.

Dalam ucapannya, Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad menegaskan bahawa penganugerahan geran komuniti ini membuktikan komitmen UUM dalam memperkukuh peranan universiti sebagai agen perubahan sosial melalui penyelidikan berimpak tinggi dan berteraskan komuniti.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan universiti bukan sahaja diukur melalui penerbitan ilmiah, tetapi juga melalui keupayaan penyelidik menyumbang kepada kesejahteraan dan pembangunan masyarakat setempat.

“Saya berharap agar usaha ini dapat diteruskan dalam melahirkan lebih banyak idea baharu yang mencetus inovasi demi kepentingan masyarakat dan negara,” katanya.

Sebanyak tiga projek utama menerima geran di bawah dana UNIMADANI (Kementerian Kewangan Malaysia – MOF), iaitu:

  1. Pemerkasaan Komuniti Melalui Projek Tanaman Cendawan oleh Dr. Nur Shuhamin Binti Nazuri (SEFB) – RM200,000.
  2. Pembangunan Ekonomi Komuniti Akuaponik 2 (PEKA2) oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Farizal Bin Rajemi (STML) – RM200,000.
  3. Projek Pemulihan Ekosistem: Pertanian Vertikal (VF) sebagai Alat Pemerkasaan Komuniti oleh Dr. Noranida Binti Mokthsim (SOG) – RM200,000.

Selain itu, tiga projek komuniti luar bandar turut menerima geran di bawah Program SEJATI MADANI @ KPT dan ICU JPM, antaranya:

  1. Projek Terung Mini Fertigasi “Para” dan Labu Kuning di Kampung Genting Palas, Padang Terap oleh Dr. Juhaida Binti Abu Bakar (SEFB) – RM110,000.
  2. Projek Ternakan Ikan Tilapia Kampung Cheh Seberang oleh Dr. Ziad Esa Bin Yazid (SEFB) – RM110,000.
  3. Bengkel dan Kelas Jahitan oleh Dr. Wan Roshidah Binti Fadzim (SEFB) – RM110,000.

Manakala, sebanyak 17 projek dalaman UUM menerima pembiayaan di bawah Skim Inisiatif Geran Sosial (SIGS) bernilai RM15,000 setiap satu, antaranya:

  1. IMAM: Inovasi Pengurusan Masjid ke Arah Komuniti Berintegriti dan Celik Digital oleh Dr. Dzarfan Bin Abdul Kadir (TISSA).
  2. Suri Anggun: Pemacu Inovasi Sosial dalam Meningkatkan Daya Saing Ekonomi Beliawanis melalui Kemahiran Guntingan Rambut Muslimah Patuh Syariah oleh Dr. Hanis Hazwani Binti Ahmad (SEFB).
  3. Building Confident Voices Among Digital Natives: A Community Initiative in Changlun oleh Prof. Madya Dr. Sabrina Binti Mohd Rashid (SMMTC).

Menurut penganjur, pemberian geran komuniti ini merupakan sebahagian daripada usaha UUM memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat melalui pelaksanaan projek berimpak sosial dan ekonomi.

Inisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi University for Society (U4S) yang menekankan kolaborasi strategik antara penyelidik dan komuniti dalam menangani isu pembangunan tempatan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button