Campus

Program 100 Permata Negeri Kedah semarak semangat pelajar luar bandar ke menara gading

Gambar Ihsan KEDA

SINTOK, 12 Oktober 2025: Program 100 Permata Negeri Kedah anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPN) telah berlangsung dengan penuh jayanya di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Za’im Ahmad berkata, program ini dilaksanakan berasaskan Modul Pembinaan Karakter yang dirangka khas dengan kerjasama Pusat Kokurikulum UUM bagi memperkasakan potensi pelajar luar bandar ke arah pembentukan jati diri unggul dan berdaya saing.

Menurutnya, program ini merupakan wadah penting untuk memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti luar bandar.

“Pendedahan awal kepada suasana universiti dan modul karakter seperti ini mampu membina kecekapan insaniah, semangat juang serta kesedaran pelajar terhadap peranan mereka sebagai agen perubahan masa depan,” katanya.

Seramai 100 pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2025 telah dipilih menyertai program ini. Mereka terdiri daripada pelajar cemerlang dari sekolah-sekolah luar bandar di daerah Baling, Sik dan Padang Terap, mewakili harapan negeri Kedah untuk melahirkan generasi masa depan yang berketerampilan dan berilmu tinggi.

Program dimulakan dengan lawatan akademik ke Dewan Kuliah, di mana pelajar berpeluang mengikuti sesi kuliah yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah (Aktiviti) Pusat Kokurikulum, Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel Anuar.

Lawatan diteruskan ke Muzium Pengurusan UUM, yang membuka ruang kepada pelajar untuk mengenali sejarah penubuhan dan pencapaian universiti pengurusan terulung di Malaysia ini.

Selain itu, pelajar turut mendapat suntikan semangat melalui sesi motivasi bersama Ketua Penyelaras Pusat Kokurikulum, Prof. Madya Dr. Nazaruddin Yusoff @ Abdul Rahman, yang menekankan pentingnya nilai karakter, disiplin dan kepimpinan dalam mencapai kecemerlangan hidup.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, Afifah Omar, di mana dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga atas kejayaan program ini dalam membentuk sahsiah pelajar luar bandar agar lebih berkeyakinan menghadapi masa depan.

Turut hadir ialah wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Prof. Madya Ts. Dr. Nur Khairiel Anuar serta penyelaras-penyelaras Pusat Kokurikulum.

Dari sudut pembangunan mampan (SDG) dan amalan ESG, program ini memberi peluang kepada pelajar memahami pentingnya keseimbangan antara pembangunan akademik dan kelestarian sosial, di samping memupuk nilai go green melalui aktiviti kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan tanggungjawab komuniti.

Program ini bukan sahaja memperluas horizon pelajar luar bandar terhadap dunia pengajian tinggi, tetapi turut menanam nilai kepimpinan, tanggungjawab sosial dan kelestarian, selaras dengan aspirasi UUM dalam melahirkan pemimpin berilmu, berintegriti dan berjiwa lestari. – Halim Md. Yatim

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button