Campus

KOPTUBAS kongsi rahsia kecemerlangan koperasi di FOI 2025 UUM

Gambar CEDI

SINTOK, 12 Oktober 2025: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan forum bertajuk “Pulau Tuba ke Pentas Nasional: Bicara Transformasi Kecemerlangan Koperasi Bersama KOPTUBAS” sempena penganjuran Festival of Idea (FOI) 2025 Peringkat Negeri Kedah di Bilik Budi, Dewan Mu’adzam Shah (DMAS), UUM.

Forum yang berlangsung selama dua jam itu menampilkan Mahyoun Mashor dan Iera Zaher, wakil Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat (KOPTUBAS) sebagai panel jemputan, dengan dikendalikan oleh moderator dari sekretariat pelajar CEDI.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dan staf universiti mengenai konsep keusahawanan sosial dan pengurusan koperasi komuniti yang berjaya.

Dalam sesi perkongsian tersebut, Mahyoun menceritakan perjalanan transformasi KOPTUBAS daripada sebuah koperasi kecil komuniti Pulau Tuba kepada organisasi berimpak tinggi yang kini menjadi model kecemerlangan koperasi di peringkat nasional.

Beliau turut berkongsi cabaran awal yang dihadapi, strategi memperkukuh penglibatan ahli, serta amalan terbaik dalam menguruskan aktiviti ekonomi berasaskan komuniti.

Program ini turut memberi inspirasi kepada pelajar UUM untuk mengenali potensi koperasi sebagai platform keusahawanan dan pembangunan komuniti yang mampan. Forum ini menjadi salah satu pengisian utama FOI 2025 yang menekankan integrasi ilmu, inovasi dan nilai sosial dalam membentuk modal insan berdaya saing.

Penyelaras Keusahawanan Sosial (SE) CEDI, Fatin Athirah Fadzillah berkata, penganjuran forum ini membuktikan komitmen CEDI dalam memperkukuh jaringan strategik antara universiti dan koperasi tempatan, di samping memberi peluang kepada pelajar untuk belajar terus daripada pengalaman sebenar komuniti usahawan koperasi.

FOI 2025 peringkat Negeri Kedah merupakan inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menghimpunkan pelbagai program ilmiah, pameran inovasi, ekspo niaga dan perkongsian komuniti bagi menyemarakkan idea serta kreativiti dalam kalangan warga universiti dan masyarakat. – Akmal Ahlami Md Rozai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button