UUM dan MBSB Bank jalin kerjasama strategik melalui Penandatanganan LoI
Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG)
SINTOK, 13 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) telah menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama MBSB Bank Berhad (MBSB) bagi menjalin kerjasama strategik dalam bidang pembangunan bakat dan perkongsian ilmu antara kedua-dua institusi.
Majlis menandatangani LoI yang berlangsung di Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, MBSB Bank Berhad, Farid Basir.
Dr. Ahmad Martadha berkata, inisiatif ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuhkan hubungan antara sektor akademia dan industri dalam melahirkan graduan yang kompeten serta memenuhi keperluan pasaran semasa.
Sementara itu, Farid menyatakan komitmen pihaknya untuk menyokong usaha UUM dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi melalui program kerjasama dan perkongsian kepakaran.
Majlis turut disaksikan oleh barisan pengurusan kanan UUM terdiri daripada Pengarah HEP, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi, dan Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah, bersama Pengurus, Pengurusan Bakat dan Penjenamaan Majikan, MBSB Bank, Syahada Taufek. – Anis Zulaikha Kamal